
SARIKEI: “Terima kasih Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg kerana merealisasikan impian rakyat Sarikei,” kata Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Datoʼ Sri Huang Tiong Sii.
Katanya, dengan siapnya jambatan ini, Sarikei akan menerima impak positif dari segi pembangunan dan lonjakan kemajuan sosioekonomi.
“Kalau dulu, dari Sarikei hendak ke Tanjung Manis perlu ke Sibu mengambil masa lebih dua jam.
“Tapi sekarang, lebih kurang 40 minit saja boleh sampai ke Tanjung Manis,” katanya ketika ditemui media di Jambatan Batang Rajang, hari ini.
Katanya, jasa pembinaan jambatan ini bukan usaha beliau seorang, ia adalah jasa Premier Sarawak dan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Beliau juga berterima kasih kepada Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas kerana melancarkan majlis Prapelancaran Jambatan Batang Rajang.
“Ekonomi di sini boleh ditingkatkan kerana ramai orang dari luar ingin ke Sarikei.
“Restoran di sini ada bagus, makanan murah dan sebagainya.
“Paling penting, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersetuju memperuntukan tiga ratus lebih juta untuk pembinaan Jalan Pasi ke Tanjung Manis dan Jambatan Batang Rajang,” katanya.
Dalam pada itu katanya, sejak menjadi wakil rakyat sembilan tahun, pembangunan telah banyak berubah di Sarikei.
“Terima kasih kepada rakyat Sarikei kerana menyokong kerajaan GPS.
“Saya berharap pada masa depan, Sarikei akan lebih maju,” katanya.
Oleh Earl Anek