
DEBAK: Sarawak kini berada di landasan tepat untuk menamatkan kebergantungan kepada bahan api diesel bagi penjanaan elektrik dan pengangkutan awam sekali gus beralih sepenuhnya kepada sumber tenaga boleh diperbaharui menjelang 2030.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menegaskan bahawa langkah ‘Selamat Tinggal Diesel’ ini merupakan sebahagian daripada Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang memfokuskan kepada kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar.
Menurut beliau, Sarawak telah membuktikan kejayaan penggunaan sistem solar melalui Skim Bekalan Elektrik Luar Bandar Alternatif Sarawak (SARES) di kawasan pedalaman seperti Baram, yang kini menikmati bekalan elektrik 24 jam tanpa perlu menanggung kos diesel yang tinggi.
“Maknanya Sarawak selepas ini tidak akan menggunakan diesel, ‘good bye to diesel’.
“Jika kita masih bergantung kepada diesel, rakyat akan terbeban dengan harga yang kini meningkat tiga kali ganda,” katanya semasa merasmikan Jalan Lubok Tamang dan Majlis Rakyat bersama Pemimpin di Debak, hari ini.

Abang Johari turut memaklumkan bahawa Bahagian Limbang bakal disambungkan sepenuhnya ke grid negeri menjelang Julai ini, sekali gus menamatkan penggunaan generator diesel di kawasan berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau menekankan keberanian kerajaan Sarawak membina infrastruktur sendiri selepas beberapa projek jambatan utama dibatalkan oleh Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Lim Guan Eng sebelum ini.
Katanya, Sarawak kini mempunyai lebih 20 jambatan bernilai hampir RM7 bilion yang dibina menggunakan dana negeri sendiri, sekali gus memperkukuh jaringan perhubungan dan merancakkan pembangunan ekonomi luar bandar.
Tambah Abang Johari, rakyat bakal menikmati kemudahan jambatan terpanjang di Malaysia iaitu Jambatan Batang Lupar menjelang Mei ini, yang dijangka menjadi pemangkin utama kepada peningkatan mobiliti dan aktiviti ekonomi setempat.
Selain itu, dengan siapnya Jalan Utama Kedua (STR) dan Jambatan Sejingkat pada hujung tahun ini, masa perjalanan dari Kuching ke Debak dijangka dapat dipendekkan kepada sekitar dua jam sahaja.
Oleh Adi Safarman