
KOTA SAMARAHAN: Projek naik taraf Taman Tasik Desa Ilmu kini hampir siap sepenuhnya dengan kemajuan fizikal mencecah 97.86 peratus, sekali gus dijangka menjadi nadi baharu aktiviti riadah serta pemangkin ekonomi komuniti setempat menjelang sambutan Hari Gawai.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah yang juga Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang berkata, projek di bawah peruntukan Agensi Pembangunan Bersepadu Wilayah Samarahan itu dilaksanakan bagi meningkatkan keselesaan pengunjung.
Menurutnya, kawasan berkenaan sentiasa menjadi tumpuan orang ramai terutama pada waktu pagi dan petang.

“Antara penambahbaikan utama termasuk naik taraf trek riadah, pembinaan tandas, penyediaan tempat duduk bertingkat serta elemen landskap beridentitikan Samarahan seperti konsep perahu tambang.
“Konsep ini bukan sahaja mencantikkan kawasan, malah memberi identiti tersendiri kepada Taman Tasik Desa Ilmu sebagai lokasi riadah utama di Samarahan,” katanya.
Selain fungsi rekreasi, beliau berkata taman tersebut turut dijangka memberi limpahan ekonomi melalui penyediaan ruang keusahawanan kepada penduduk setempat.

Sehubungan dengan itu, satu cadangan pembangunan gerai niaga di kawasan persimpangan Jalan Desa Ilmu turut dirancang dengan anggaran kos RM2 juta bagi fasa pertama.
Jelasnya, penyediaan gerai niaga berkenaan penting bagi mewujudkan peluang kepada usahawan tempatan menjalankan perniagaan dalam persekitaran lebih tersusun dan kondusif.
“Pembangunan ini bukan sahaja berpotensi menjana pendapatan penduduk, malah mampu menghidupkan ekosistem ekonomi setempat selaras dengan pembangunan pesat di Desa Ilmu,” ujarnya.
Beliau menambah aspek kebersihan, keselamatan dan keselesaan akan terus diberi keutamaan bagi memastikan kawasan berkenaan kekal teratur, selamat serta berdaya saing sebagai destinasi komuniti.