KUCHING: Kerajaan Sarawak tidak berniat untuk menyembunyikan maklumat daripada rakyat mengenai pertikaian pengagihan gas melibatkan Petronas dan Petros.
Ketua Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak, Dato Fazzrudin Abdul Rahman sebaliknya menegaskan, Sarawak menyerahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengumumkan mengenai formula penyelesaian pertikaian itu sebagai tanda hormat.
“Namun, sehingga kini, kami masih belum mendengar sebarang pengumuman daripada Perdana Menteri untuk menyelesaikan isu ini. Kini, keputusan terletak di tangan Perdana Menteri.
“Jika ada pihak yang mempermainkan rakyat Sarawak, sudah pasti ia bukan dari kerajaan Sarawak.
“Pendekatan Sarawak adalah jelas bahawa kuasa terhadap pengagihan gas adalah hak kerajaan Sarawak dan Petros diiktiraf sebagai pengagregat gas tunggal,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan dikeluarkan bagi menjawab kenyataan Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen pada Jumaat yang menggesa Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk mendedahkan butiran mengenai pengagihan gas antara Petronas dan Petros.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong itu turut menggesa Chong untuk turut menyatakan pendiriannya dalam isu ini dan bekerjasama dengan kerajaan Sarawak bagi mendesak penyelesaian dari Putrajaya.
Katanya, ia kali pertama ADUN Padungan itu mengeluarkan komen mengenai isu pengagihan gas dan hanya berdiam diri selama ini.
Ini berbeza dengan pendirian Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan kerajaan Sarawak yang sentiasa lantang dan berjuang tanpa henti menuntut hak Sarawak.
“Mungkin Chong dan DAP Sarawak boleh menggunakan hubungan mereka di peringkat persekutuan dan meminta Setiausaha Agung DAP Anthony Loke untuk menyelesaikan isu ini dengan Perdana Menteri, malahan Chong juga boleh membawa isu ini terus kepada PMX sendiri.
“Langkah ini akan mencerminkan keikhlasan DAP dalam menghormati dan menegakkan hak Sarawak seperti yang sering mereka dakwa sebelum ini,” katanya.