KUCHING: Sarawak bersedia menjadi tuan rumah untuk Sukan Malaysia (Sukma) 2024 jika negeri lain tidak sanggup menjadi tuan rumah selepas pandemik COVID-19.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, negeri ini mempunyai kemudahan lengkap untuk kebanyakan acara sukan selain velodrom yang akan disiapkan pada 2026.
“Ia adalah berdasarkan sekiranya Sarawak diberikan peluang untuk menjadi tuan rumah temasya yang menjadi platform pertandingan bagi atlet berumur bawah 21 tahun di negara ini,” katanya seperti dilaporkan UKAS.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis Malam Apresiasi Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED) di sini malam tadi.
Dalam perkembangan lain, Abdul Karim yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan berkata dewan-dewan suarah di Sarawak perlu menjalani kerja-kerja menaik taraf.
Katanya, sebagai tempat tumpuan masyarakat tempatan, Dewan Suarah perlu diberi tambah nilai untuk manfaat masyarakat tempatan.
Turut hadir dalam progam itu ialah Timbalan Menterinya, Dr. Ripin Lamat, Setiausaha Tetap MYSED, Morshidi Fredrick, Pengarah Jabatan Muzium Sarawak, Nancy Jolhi serta Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Sports Corporation (SSC) & Majlis Sukan Negeri (MSN), Awang Putra Yusri.