KUCHING: Sarawak bersedia menjadi rakan strategik kepada institusi kejuruteraan di bawah Persekutuan Institusi Kejuruteraan Asia dan Pasifik (FEIAP) bagi membangunkan penyelesaian praktikal dan mampan dalam menangani cabaran pembangunan sebenar.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak terbuka untuk bekerjasama dengan institusi, universiti dan industri daripada rangkaian FEIAP dalam membangunkan projek rintis yang boleh diuji, diukur, ditambah baik dan diperluaskan.
“Mari kita mulakan dengan sesuatu yang praktikal: satu cabaran, satu perkongsian dan satu percubaan. Mari kita kenal pasti cabaran kejuruteraan sebenar, menyatukan institusi, universiti dan industri dari seluruh FEIAP, dan menguji penyelesaian yang boleh diukur, diperbaiki dan direplikasi.
“Sarawak bersedia untuk meneroka perkongsian sedemikian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Perhimpunan Agung dan Konvensyen FEIAP di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.
Menurutnya, kerjasama berkenaan penting bagi memastikan kepakaran kejuruteraan dapat diterjemahkan kepada penyelesaian praktikal yang memenuhi keperluan masyarakat selain berpotensi disesuaikan di tempat lain.
Katanya, kedudukan Sarawak di Borneo turut memberi peluang kepada negeri itu untuk membantu menghubungkan pengetahuan dan kepakaran ke seluruh ASEAN serta rantau Asia Pasifik.
Dalam pada itu, Abang Johari berkata, jaringan FEIAP dapat memberi pendedahan lebih luas kepada jurutera muda Sarawak melalui hubungan dengan institusi profesional, industri dan rakan sejawat dari seluruh rantau berkenaan.
Katanya, peluang itu dapat membantu mereka memperoleh pengalaman, membina keyakinan serta mengembangkan perspektif antarabangsa bagi menghadapi keperluan ekonomi masa depan.

Perhimpunan Agung dan Konvensyen FEIAP menghimpunkan wakil daripada 25 ekonomi anggota, selain menjadi platform pertukaran idea, pembinaan jaringan serta penerokaan peluang kerjasama dalam bidang kejuruteraan.
Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar.
Selain itu, Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai, Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin serta timbalan-timbalan menteri kerajaan Sarawak, ketua jabatan dan dif jemputan lain.




