PETRA JAYA: Sejumlah 150 pengangkutan melibatkan pelbagai jenis kenderaan disediakan bagi memudahkan pergerakan kontinjen dan kelancaran temasya Para Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 berlangsung pada 22 hingga 28 September ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, jumlah pengangkutan tersebut terdiri daripada 62 van, 45 bas, 18 kereta pelbagai guna (SUV), 15 kereta dan 10 lori.
“Pengangkutan ini bagi memudahkan pergerakan kontinjen dan kelancaran temasya.
“Selain itu, kita juga mendapatkan khidmat Rapid KL yang merupakan rakan strategik pengangkutan dengan perkhidmatan disediakan adalah secara percuma tanpa melibatkan sewaan.
“Kos penghantaran bas (guna kapal) ditanggung oleh kerajaan Sarawak iaitu sebanyak RM845,000, melibatkan penghantaran pergi dan balik di Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Kuching.
“Pada masa sama, seramai 44 orang pegawai dan petugas Rapid Bus akan tiba pada 13 September ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Induk Sukan Para SUKMA XXI Sarawak 2024 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Fatimah turut memaklumkan bahawa pembukaan Para SUKMA akan disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Stadium Perpaduan pada 22 September.
Selain itu, penutupan temasya tersebut akan disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof di Stadium Perpaduan pada 28 September.
Untuk rekod, Para SUKMA kali ini akan menampilkan 328 acara daripada 10 sukan iaitu para olahraga, para renang, para badminton, para pingpong, para tenpin boling, para boling padang, para angkat berat, para memanah, para catur dan boccia.
Temasya kali ini juga menyaksikan sebanyak 15 kontinjen dari seluruh negara dan melibatkan seramai 2,225 orang yang terdiri daripada atlet (1,290 orang), atlet sokongan (49 orang), pegawai pasukan (780 orang), Chef De Mission (15 orang), pegawai perubatan kontinjen (15 orang) dan urusetia kontinjen (75 orang).
Oleh Mohd Neenatul Aizal
Gambar
SIDANG MEDIA… Dato Sri Fatimah Abdullah ketika mengadakan sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Induk Sukan Para SUKMA XXI Sarawak 2024 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.