KUCHING: Sarawak tidak melihat kedudukan kedua atau ketiga pada Temasya Sukan Malaysia (Sukma) XXII Selangor 2026, sebaliknya menyasarkan untuk mempertahankan gelaran juara yang dimenangi pada temasya sebelum ini.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, keyakinan itu didorong persiapan rapi kontinjen Sarawak serta semangat atlet yang mahu membawa pulang kejayaan.
“Kita tidak melihat nombor dua ataupun nombor tiga kerana kita hanya melihat nombor satu. Saya rasa tidak salah untuk kita merasakan begitu kerana kita adalah juara bertahan untuk Sukma dan juga untuk Para Sukma.
“Untuk kedua-duanya ini, tiada nombor dua, kita hanya melihat nombor satu dan saya percaya semangat atlet-atlet kita memang cukup membara untuk membawa balik kemenangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis pelepasan kontinjen Sarawak ke Sukma XXII Selangor 2026 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA), di sini, hari ini.
Abdul Karim berkata, lebih 60 atlet dan pegawai daripada kumpulan pertama yang besar berlepas hari ini menggunakan perkhidmatan AirBorneo bagi menyertai beberapa acara yang akan berlangsung di Selangor.
Katanya, kumpulan berkenaan membabitkan atlet dan pegawai bagi sukan judo, gimrama dan kabaddi, manakala kumpulan kontinjen bagi acara lain akan berlepas secara berperingkat dalam tempoh terdekat.
“Keseluruhan kontinjen Sarawak melibatkan lebih 900 anggota, hampir 1,000. Hari ini merupakan kumpulan pertama yang besar, melibatkan lebih 60 anggota dan semuanya menggunakan AirBorneo,” katanya.
Mengulas keadaan jerebu, Abdul Karim berkata keadaan kualiti udara di Selangor, termasuk kawasan pertandingan Sukma, setakat ini tidak membimbangkan berbanding keadaan di Sarawak.
Bagaimanapun, beliau menasihatkan atlet terutama yang bertanding di kawasan lapang seperti padang dan trek supaya sentiasa berwaspada sekiranya keadaan jerebu berubah.

“Kalau mereka ada sensitiviti sinus, jangan terlalu lama berada di luar. Tetapi selalunya atlet tidak menghadapi masalah seperti ini,” katanya.
Abdul Karim turut mengingatkan atlet dan pegawai Sarawak supaya menjaga disiplin sepanjang berada di Selangor bagi memastikan nama baik kontinjen negeri sentiasa terpelihara.
Pada masa sama, beliau turut mengucapkan tahniah kepada Datuk Gerald Rentap Jabu selaku Ketua Kontinjen atau Chef de Mission Sarawak bagi Sukma XXII.
Abdul Karim berkata, penggunaan AirBorneo bagi penerbangan kontinjen hari ini turut mencerminkan sokongan syarikat penerbangan berkenaan dalam membantu persiapan Sarawak menghadapi temasya sukan itu.
Oleh Shikin Mahmud





