KUALA LUMPUR, 2 November: Sarawak mengalu-alukan kerjasama pakar dan institusi antarabangsa dalam bidang penyelidikan, pendidikan serta latihan profesional bagi membantu negeri itu merealisasikan hasrat untuk menjadi hab serantau berkaitan perubatan integratif.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata kerjasama itu akan membantu memperkukuh keupayaan penyelidikan, melahirkan tenaga pakar tempatan dalam bidang khusus serta menterjemahkan pengetahuan saintifik kepada aplikasi praktikal bidang penjagaan kesihatan.
Beliau berkata Sarawak mempunyai asas kukuh untuk merealisasikan hasrat itu, disokong oleh kekayaan biodiversiti, pengetahuan tradisional, keupayaan penyelidikan bioperubatan serta institusi sedia ada termasuk Pusat Penyakit Berjangkit Sarawak (SIDC) dan Pusat Biodiversiti Sarawak (SBC).
“Pada masa ini, kita (Sarawak) juga menjalin kerjasama dengan Hospital Fudan di China bagi meneroka peluang mengintegrasikan perubatan Timur dan Barat menerusi penyelidikan serta inovasi,” katanya ketika berucap pada Persidangan Perubatan Integratif Antarabangsa 2026 di sini hari ini.
Abang Johari berkata pembangunan hab serantau memerlukan kerjasama berterusan antara universiti, pakar klinikal, makmal, rakan industri, institusi awam dan komuniti tempatan, dengan setiap pihak menyumbangkan kepakaran serta keupayaan masing-masing bagi memperkukuh ekosistem penjagaan kesihatan.
Beliau berkata kerjasama itu juga berpotensi membuka peluang kepada golongan muda Sarawak untuk membangunkan kemahiran khusus dalam bidang sains bioperubatan, penyelidikan botani, genomik dan penyelidikan klinikal, selain menyokong pengkomersialan hasil penemuan saintifik secara bertanggungjawab.
“Matlamat utamanya untuk meningkatkan tahap kesihatan, memelihara fungsi tubuh serta menyokong penjagaan kesihatan lebih mudah diakses oleh masyarakat, di samping memastikan penjagaan yang diberikan bersifat kendiri dan boleh dipercayai,” katanya.
Persidangan berlangsung selama tiga hari dari 31 Oktober hingga 2 November itu bertemakan ‘Sinergi Kolaboratif: Membentuk Ekosistem Kesihatan Integratif bagi Kesejahteraan Perubatan dan Salutogenesis’.
Ia menghimpunkan 27 penceramah dari 10 negara serta lebih 350 peserta dari 13 negara dan wilayah, termasuk pengamal perubatan, penyelidik, pendidik, profesional kesihatan bersekutu dan pemimpin industri. – Bernama





