SERDANG: Pavilion Sarawak mencipta kejayaan membanggakan apabila dinobatkan sebagai Pavilion Negeri Terbaik sekali gus merangkul gelaran Juara MAHA 2026 sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), di sini.
Menurut kenyataan Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD), pencapaian itu membolehkan Pavilion Sarawak membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000 berserta sijil penghargaan.
Katanya, pencapaian berkenaan mengukuhkan lagi keupayaan Sarawak dalam mengetengahkan keunikan, kepelbagaian serta potensi sektor agro makanan dan komoditi negeri di peringkat nasional
Setiausaha Tetap Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD), Datu Sirai Daha, bersama pegawai dan petugas Pavilion Sarawak, hadir menerima hadiah kemenangan berkenaan.
Majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang disempurnakan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Tambahnya, kemenangan itu turut menjadi pengiktirafan terhadap komitmen, dedikasi dan kerjasama seluruh pasukan yang memastikan penyertaan Sarawak di MAHA 2026 dapat dilaksanakan dengan jayanya.
“Penyertaan berkenaan turut mengetengahkan imej dan identiti Sarawak kepada pengunjung dari seluruh negara.
“Kejayaan tersebut mencerminkan hasil kerjasama erat pelbagai kementerian, jabatan, agensi, usahawan dan pemain industri Sarawak dalam mempromosikan kekuatan serta keistimewaan sektor agro makanan, pertanian dan komoditi negeri,” jelas kenyataan tersebut.
Pencapaian sebagai Pavilion Negeri Terbaik dan Juara MAHA 2026 turut membuktikan penyertaan Sarawak bukan sekadar platform pameran, sebaliknya menjadi wadah strategik untuk memperkenalkan produk, inovasi, budaya, keusahawanan serta potensi agro makanan dan komoditi negeri ke peringkat lebih luas.
Untuk rekod, MAHA 2026 berlangsung dari 28 Ogos hingga 6 September ini di MAEPS, Serdang.




