PETRA JAYA: Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan menyambut baik keputusan AirAsia yang mengembalikan penerbangan terus dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), lebih dikenali sebagai Lapangan Terbang Subang ke Sarawak.
Katanya, perkara tersebut secara langsung akan membantu sektor pelancongan dengan membawa lebih ramai pelancong ke negeri ini.
“Bila penerbangan baharu bertambah, sudah pasti pelancong juga semakin ramai, bila semakin ramai yang datang, ia akan memberi manfaat kepada industri pelancongan dan hospitaliti negeri ini.
“Syarikat penerbangan ini apabila mereka memperkenalkan penerbangan baharu, mereka akan memantau sambutannya. Sekiranya kurang memuaskan, mereka akan mengurangkan kekerapan penerbangan atau kapasitinya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Festival Pancaragam dan Orkestra Antarabangsa Sarawak (SIBOFest) di Bangunan Baitulmakmur II, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau juga menyatakan bahawa penerbangan terus Jakarta-Kuching mendapat sambutan luar biasa dengan muatan lebih 80 peratus setiap penerbangan.
Katanya, sebab itulah penerbangan Jakarta-Kuching yang sebelum ini hanya tiga kali seminggu ditukarkan kepada satu penerbangan setiap hari.
“Saya tidak terkejut kalau mereka menambah lebih dari satu penerbangan sehari (Jakarta-Kuching),” jelasnya.
Oleh SHAHRUL QAIZAT
Gambar
Abdul Karim pada sidang media Festival Pancaragam dan Orkestra Antarabangsa Sarawak (SIBOFest) di Bangunan Baitulmakmur II, hari ini. Foto HERRIEY NAHA