Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Sarawak rancang bina pelabuhan baharu di Miri
  • SEMASA

Sarawak rancang bina pelabuhan baharu di Miri

Utusan Sarawak 8 months ago

SIMBOLIK... Abang Johari menandatangani plak pada majlis pecah tanah projek memperdalam terusan dan kerja-kerja berkaitan Delta Batang Baram di Miri, hari ini.

MIRI: Sarawak merancang membina sebuah pelabuhan baharu di sini menjelang 2030, sekali gus berpotensi melonjakkan kedudukan negeri ini dalam industri maritim dunia.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata ia bakal memberi nilai tambah kepada pertumbuhan industri pelancongan dan perdagangan di Utara Sarawak.

 “Saya komited untuk mendapatkan dana yang diperlukan bagi menjamin projek ini menjadi kenyataan dan pendapatan Sarawak akan terus meningkat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pecah tanah projek memperdalam terusan dan kerja-kerja berkaitan Delta Batang Baram di sini, hari ini.

Projek bernilai RM208.98 juta itu bakal mengubah lanskap pembangunan di Kuala Baram apabila siap dalam tempoh 33 bulan, pada Mac 2027.

Abang Johari berkata, Miri juga boleh menjadi persinggahan untuk kapal persiaran yang menuju ke Indonesia, sekali gus membantu memajukan lag industri pelancongan tempatan.

Selain itu, katanya, kemudahan pelabuhan baharu itu akan menyokong eksport komoditi utama Sarawak, termasuk minyak sawit, dan menyumbang kepada industri perkapalan yang akhirnya melengkapkan operasi di Pelabuhan Bintulu. 

Terdahulu dalam ucapannya pada majlis tersebut, Abang Johari berkata, inisiatif projek memperdalamkan Delta Batang Baram adalah sebahagian strategi jangka panjang untuk melonjakkan pertumbuhan ekonomi dan menstranformasikan Sarawak sebagai hab wilayah untuk pelancongan dan perdagangan.

Beliau berkongsi visi besar untuk Sarawak, seperti apa berlaku dalam transformasi Dubai di Asia Barat.

“Menjelang 2035, kawasan ini akan menjadi seperti Palm Jumeirah di Dubai. Dahulu kawasan ini laut, tetapi sekarang ia menjadi tarikan kelas dunia.

“Saya percaya tempat ini berpotensi menjadi pusat perdagangan pelabuhan dan pelancongan, boleh bersaing dengan pelabuhan di Singapura,” katanya.

Abang Johari berkata, peluang ekonomi yang luas di projek Delta Batang Baram boleh menarik industri pelancongan, perdagangan dan kraftangan.

“Bila saya melihat potensi ekonomi di sini, saya percaya pelaburan kita akan berbaloi. Projek ini akan mengubah landskap, ” katanya.

Oleh Adum Liu 

Continue Reading

Previous: Elak kebimbangan, Sarawak Energy perjelas aktiviti pemasangan meter pintar
Next: Festival Sastera Kanak-Kanak Sarawak tampil lebih 50 rakan kerjasama

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.