Tempoh tanggungan kecacatan dua tahun jamin kualiti Hospital Baharu Lawas

Facebook
WhatsApp
PROJEK SIAP...Alexander Nanta kelihatan bersama Awang Tengah pada majlis penyerahan projek hospital Lawas daripada JKR kepada KKM.

LAWAS: Kementerian Kerja Raya (KKR) menetapkan tempoh tanggungan kecacatan selama dua tahun bagi memastikan segala aspek keselamatan dan struktur binaan Hospital Baharu Lawas berada dalam keadaan sempurna.

Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi, berkata tempoh berkenaan penting memandangkan projek pembinaan hospital itu melibatkan struktur bangunan yang kompleks serta pelbagai peralatan dan kemudahan.

“Memang projek ini lewat daripada jadual asal disebabkan beberapa kekangan, termasuk ketika pandemik COVID-19. Namun, kita berbangga kerana projek ini akhirnya berjaya disiapkan.

“Seperti yang saya sebut dalam ucapan tadi, projek ini mempunyai tempoh tanggungan kecacatan selama dua tahun. Sekiranya terdapat perkara yang masih belum sempurna atau tidak disiapkan dengan baik, kontraktor bertanggungjawab untuk melakukan pembetulan dan menyiapkan kerja berkenaan.

“Tempoh dua tahun ini agak panjang kerana projek ini kompleks dan melibatkan pelbagai peralatan serta struktur bangunan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri majlis penyerahan Projek Hospital Baharu Lawas daripada KKR kepada Kementerian Kesihatan (KKM) di bangunan hospital baharu itu, hari ini.

Alexander Nanta berkata, hospital berkenaan memberi harapan baharu kepada lebih 60,000 penduduk di kawasan Parlimen Lawas yang sebelum ini berdepan keterbatasan dari segi akses kepada kemudahan hospital yang lebih baik dan selesa.

Menurutnya, KKR turut memberi penekanan serius bagi memastikan projek yang diluluskan sejak Rancangan Malaysia Ketujuh (RMK-7) itu akhirnya dapat disiapkan.

Beliau berkata, ketika ini terdapat empat projek mega di negara ini yang dikategorikan sebagai projek sakit, namun tindakan telah diambil bagi memastikan kesemua projek berkenaan dapat disiapkan.

Oleh Adeng Edrus