Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Sarawak perlu pendekatan berbeza dalam pelaksanaan subsidi petrol
  • SEMASA

Sarawak perlu pendekatan berbeza dalam pelaksanaan subsidi petrol

Utusan Sarawak 1 hour ago
SARAWAK perlu pendekatan berbeza dalam pelaksanaan subsidi petrol. Foto Bernama.

KUCHING: Cadangan Kerajaan Persekutuan untuk mengetatkan lagi mekanisme subsidi bersasar petrol RON95 daripada had semasa yang dibincangkan sebanyak 200 liter kepada 150 atau 175 liter sebulan menimbulkan kebimbangan serius, khususnya kepada rakyat Sarawak dan golongan berpendapatan sederhana.

PENASIHAT Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak (Sheda), Dato Sim Kiang Chiok.

Penasihat Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak (Sheda), Dato Sim Kiang Chiok berkata, langkah itu berpotensi menjejaskan lebih ramai rakyat biasa yang kini sedang berdepan peningkatan kos sara hidup.

Menurut beliau, laporan terkini menunjukkan sekitar 80 peratus rakyat Malaysia menggunakan kurang daripada 200 liter petrol sebulan, manakala sekitar 60 peratus menggunakan kurang daripada 150 liter.

“Ini bermakna jika had diturunkan daripada 200 liter kepada 150 liter, lebih ramai rakyat akan terkesan dan mungkin berasa terpinggir,” katanya.

Beliau menegaskan, dasar tersebut amat tidak adil kepada Sarawak memandangkan jarak perjalanan antara bandar dan pekan di negeri ini yang jauh menyebabkan penggunaan bahan api lebih tinggi sukar dielakkan.

Katanya, ramai keluarga di Sarawak perlu melakukan perjalanan jauh bagi tujuan pekerjaan, pendidikan, rawatan kesihatan dan urusan perniagaan.

“Dasar seragam yang dirangka berdasarkan corak perjalanan bandar di Semenanjung tidak mencerminkan realiti sebenar di Malaysia Timur,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut berpandangan golongan pembayar cukai T20 tidak seharusnya dikenakan tekanan tambahan kerana mereka merupakan antara penyumbang terbesar kepada hasil cukai pendapatan negara.

Menurutnya, golongan tersebut juga memainkan peranan penting dalam merangsang penggunaan domestik, pelaburan serta pertumbuhan ekonomi negara.

“Bukan semua isi rumah T20 itu kaya, terutama dalam keadaan kos pendidikan, kesihatan, perumahan dan sara hidup yang semakin meningkat ketika ini,” ujarnya.

Tambah beliau, kerajaan sepatutnya memanfaatkan hasil kukuh daripada eksport minyak dan gas negara untuk membantu mengurangkan tekanan inflasi, bukannya menambah beban rakyat yang bekerja keras.

Beliau turut mengingatkan bahawa kerajaan perlu berlaku adil dan praktikal kerana golongan terkesan juga merupakan pengundi yang mampu menentukan masa depan Kerajaan Persekutuan sekiranya suara mereka terus diabaikan.

Oleh Norman B

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: Langkawi jadi ‘galeri terbuka’ seni kontemporari

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.