Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Langkawi jadi ‘galeri terbuka’ seni kontemporari
  • SEMASA

Langkawi jadi ‘galeri terbuka’ seni kontemporari

Utusan Sarawak 3 hours ago
KARYA seni kontemporari Bakat Muda Sezaman ke-29 (BMS29) dipersembahkan di ruang terbuka sekitar Langkawi, selaras dengan pendekatan lokasi khusus yang menjadikan Pantai Taman Lagenda itu sebagai galeri terbuka. Foto Bernama

LANGKAWI: Jika selama ini Langkawi memukau pengunjung dengan deruan ombak dan keindahan alam semula jadi, kini pulau legenda itu tampil dengan pesona baharu sebagai ‘galeri terbuka’ menerusi sentuhan karya seni kontemporari Bakat Muda Sezaman ke-29 (BMS29).

Menerusi pendekatan lokasi khusus atau site-specific, karya seni tidak dipamerkan di ruang galeri, sebaliknya ditempatkan di lokasi awam di sekitar Langkawi, menjadikan landskap, komuniti dan kehidupan harian masyarakat setempat sebahagian daripada pengalaman berkarya bagi penggiat seni muda.

Lokasi yang terlibat termasuk Pasar Awam Kuah, Pantai Taman Lagenda, jeti dan bendang padi Pulau Tuba, Hospital Lama Kuah, Taman Rekreasi Tasik Teluk Kedak, Dataran Lang dan Jetty Point.

KARYA seni kontemporari Bakat Muda Sezaman ke-29 (BMS29) dipersembahkan di ruang terbuka sekitar Langkawi, selaras dengan pendekatan lokasi khusus yang menjadikan Pulau Tuba itu sebagai galeri terbuka. Foto Bernama

Pameran yang dibuka kepada orang awam hingga 26 Julai itu merangkumi pelbagai medium termasuk instalasi, media campuran, digital, persembahan dan interaktif, memperlihatkan bagaimana seni kontemporari mengisi ruang, alam dan komuniti setempat.

Ketua Pengarah Balai Seni Negara Amerrudin Ahmad berkata pemilihan Langkawi sebagai lokasi pameran adalah sebahagian daripada usaha membawa seni lebih dekat kepada masyarakat, selepas BMS29 diperluas ke luar Kuala Lumpur serta premis galeri dan muzium.

Pendekatan itu katanya membolehkan penggiat seni muda melihat dengan lebih dekat realiti masyarakat serta kearifan tempatan yang wujud di seluruh negara, selain memberi ruang kepada mereka menghasilkan karya berdasarkan lokasi dan komuniti sebenar.

“Ini secara tidak langsung membuka ruang baharu kepada masyarakat untuk melihat seni sebagai sesuatu yang tidak terlalu eksklusif atau janggal, sebaliknya dekat dengan kehidupan dan pengalaman masyarakat setempat.

“Hasil karya masa kini bukan lagi dihasilkan semata-mata di atas kerusi empuk dalam studio berhawa dingin, sebaliknya perlu turun ke lapangan, mendekati masyarakat serta mencerminkan realiti kehidupan dan persekitaran sebenar mereka,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

KARYA seni kontemporari Bakat Muda Sezaman ke-29 (BMS29) dipersembahkan di ruang terbuka sekitar Langkawi, selaras dengan pendekatan lokasi khusus yang menjadikan Pantai Taman Lagenda itu sebagai galeri terbuka. Foto Bernama

Amerrudin berkata pihaknya mengambil inspirasi daripada pengalaman antarabangsa, antaranya Echigo-Tsumari di Jepun yang dibangunkan melalui pendekatan seni di lokasi sehingga berjaya menarik pengunjung ke kawasan pedalaman.

“Kawasan itu sebelum ini berdepan kekurangan orang muda, dihuni ramai warga emas dan kurang menjadi tumpuan kerana cabaran cuaca, namun pendekatan seni di lokasi berjaya menarik pengunjung datang. Kita mengambil iktibar daripada pendekatan itu dalam usaha mewujudkan tarikan seni serta pengalaman baharu di Langkawi,” katanya. 

Sementara itu, penggiat seni Suhaimi Fadzir, 60, berkata Langkawi mempunyai kekuatan tersendiri untuk dijadikan ruang seni terbuka kerana pulau tersebut memiliki landskap semula jadi yang kuat seperti pantai dan gunung-ganang.

Beliau yang sudah lapan tahun menetap di pulau ini, berkata pendekatan seni di ruang terbuka seperti itu juga berpotensi berkembang sebagai seni awam sekiranya dibangunkan secara terancang dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan, agensi pelancongan dan komuniti.

“Seni awam memang sebahagian daripada bandar-bandar besar dan menunjukkan bandar itu maju. Langkawi banyak tempat yang sesuai. Kalau dibuat dengan betul, ia boleh menjadi tarikan kerana pelancong datang ke Langkawi untuk mencari keunikan,” katanya.

Penduduk Kuah, Lim It Leang, 70, pula berkata penganjuran program seni seperti itu mampu memperkenalkan sisi budaya Langkawi kepada pelancong, terutama jika karya yang diketengahkan menonjolkan unsur tempatan.

“Memang bagus sebab di sini banyak pelancong. Kalau kita buat karya seni yang berunsur budaya tempatan, ia boleh tarik perhatian pelancong untuk datang melihat. Pada saya, itu lebih menarik dan memberi nilai tambah kepada Langkawi,” katanya.

-Bernama  

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: Amaran ribut petir, hujan lebat di lapan negeri hingga 5.00 petang ini

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.