
KUCHING: Forum Perniagaan Malaysia-Jerman menjadi pemangkin pengukuhan hubungan dua hala serta komitmen bersama dalam membentuk masa depan industri, inovasi dan pembangunan mampan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, Sarawak terus mempergiat usaha untuk muncul sebagai hab pelaburan hijau dan ekonomi berteknologi tinggi terkemuka di ASEAN menerusi kerjasama strategik dengan Jerman, khususnya dalam sektor tenaga bersih, semikonduktor dan ekonomi digital.
Menurut beliau, Jerman terkenal dengan kecemerlangan kejuruteraan dan pembuatan maju, manakala Sarawak mempunyai sumber semula jadi serta hala tuju pembangunan jelas ke arah ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2030.
Katanya, meskipun dunia berdepan ketidaktentuan termasuk ketegangan geopolitik, gangguan rantaian bekalan dan peningkatan kos tenaga, situasi itu membuka peluang kepada Sarawak sebagai destinasi pelaburan yang stabil dan kompetitif di ASEAN.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Forum Perniagaan Malaysia-Jerman ke-6 di sini, hari ini.

Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan berkata, transformasi ekonomi negeri dipacu melalui ekonomi digital, tenaga boleh diperbaharui dan pembuatan maju.
Katanya, Sarawak giat memperkukuh agenda Industri 4.0 menerusi penggunaan kecerdasan buatan (AI), automasi dan teknologi pembuatan pintar.
Dalam sektor tenaga hijau, Sarawak menyasarkan kapasiti 10 gigawatt menjelang 2030 merangkumi hidroelektrik, hidrogen, bioenergi, teknologi waste-to-energy serta bahan api penerbangan mampan.
Bagi pembuatan maju, tumpuan diberikan kepada aktiviti hiliran bernilai tinggi termasuk semikonduktor, aeroangkasa dan teknologi generasi baharu.
Menurutnya, keyakinan pelabur asing terus meningkat dengan kehadiran syarikat berkaitan Jerman seperti X-FAB dan Behn Meyer yang telah mewujudkan operasi di negeri ini.

Pelaksanaan Pelan Hala Tuju Semikonduktor Sarawak 2030 dijangka menarik pelaburan bernilai RM2 bilion serta mewujudkan sekurang-kurangnya 3,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.
Dalam pada itu, syarikat Jerman turut dipelawa meneroka peluang kerjasama dalam pembangunan hidrogen di Bintulu, pengangkutan hijau di Kuching, ekonomi digital, automasi industri, Internet Kebendaan (IoT), ekonomi kitaran dan penyelesaian alam sekitar.
“Sarawak menawarkan kestabilan politik, dasar mesra pelabur serta sumber tenaga boleh diperbaharui yang kompetitif. Gabungan kekuatan ini mampu membina masa depan mampan yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak,” katanya.