
KUCHING: Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) akan melaksanakan Operasi Pembenihan Awan (OPA) Siri 4 di Sarawak pada 11 hingga 12 Mei ini sebagai langkah proaktif meningkatkan taburan hujan di kawasan tadahan empangan utama negeri.
Menurut kenyataan MET Malaysia, operasi itu memberi tumpuan kepada kawasan tadahan Empangan Bakun, Batang Ai dan Murum yang menjadi sumber penting bekalan air serta penjanaan tenaga hidroelektrik di Sarawak.
“Pelaksanaan operasi ini bertujuan membantu meningkatkan paras air di empangan utama, khususnya dalam menghadapi keadaan cuaca kering yang berpotensi menjejaskan bekalan air dan tenaga.
“OPA ini melibatkan kerjasama strategik pelbagai agensi termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak serta beberapa agensi negeri lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah kenyataan itu, operasi berkenaan akan dilaksanakan berdasarkan analisis meteorologi yang teliti dengan mengambil kira faktor kelembapan udara, kestabilan atmosfera dan corak pergerakan angin.
“Kawasan sasaran turut dipilih berdasarkan kehadiran awan yang berpotensi untuk proses pembenihan bagi memastikan keberkesanan operasi,” jelasnya lagi.
Orang awam turut dinasihatkan supaya sentiasa mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui saluran rasmi MET Malaysia termasuk laman sesawang, aplikasi myCuaca serta media sosial.
Operasi Pembenihan Awan merupakan antara langkah intervensi yang dilaksanakan kerajaan dalam mengurus sumber air khususnya ketika berdepan cuaca panas dan kering, bagi memastikan kelangsungan bekalan air serta penjanaan tenaga hidroelektrik di Sarawak kekal terjamin.