
BINTULU: Sarawak bertuah kerana dikurniakan sumber air yang melimpah dan melihat air bukan sekadar sumber semula jadi, malah sebagai aset strategik yang mampu memacu pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi, Syed Mohamad Fauzi Shahab berkata, keutamaan kerajaan Sarawak adalah memastikan setiap rakyat mendapat akses kepada bekalan air bersih. Pada masa ini, liputan bekalan air di Sarawak telah mencapai 86.1 peratus, manakala liputan di kawasan luar bandar adalah 72 peratus.
“Menerusi pelan induk bekalan air Sarawak dan rangkaian grid air, kerajaan negeri telah merangka pembangunan bekalan air sehingga 2070 bagi memastikan cabaran berkaitan sumber air, rawatan, pengagihan dan permintaan dapat ditangani secara mampan,” katanya ketika berucapan pada majlis makan malam jalinan mesra Jawatankuasa Tindakan Jurutera Air Malaysia (MyWAC) Sesi 2024/2026 di sebuah hotel terkemuka di sini, semalam.

Menurut beliau, cabaran seperti perubahan iklim, peningkatan permintaan pengguna serta keperluan memodenkan infrastruktur bekalan air memerlukan kerjasama erat semua pihak.
Sehubungan itu, katanya, platform seperti MyWAC amat penting kerana menghimpunkan profesional industri air untuk berkongsi pengetahuan, amalan terbaik dan penyelesaian inovatif demi meningkatkan mutu perkhidmatan bekalan air negara.
Beliau turut menegaskan bahawa perkataan ‘tindakan’ dalam MyWAC perlu diterjemahkan kepada tindakan sebenar dalam menangani cabaran industri air, termasuk memperkukuh pengurusan sumber air dan memastikan bekalan yang berkualiti sampai kepada pengguna.

Dalam masa sama, beliau menggesa lebih banyak penyelidikan dan penggunaan teknologi baharu diteroka bagi memanfaatkan sumber air permukaan yang melimpah di Sarawak agar bekalan air dapat disalurkan dengan lebih cekap dan menyeluruh.
Beliau turut mengajak semua pemain industri untuk terus memperkukuh kerjasama menjelang Kongres dan Pameran Air Sedunia IWA 2028 yang akan berlangsung di Kuching, sekali gus menjadikan Malaysia sebagai antara peneraju dalam pembangunan industri air di peringkat antarabangsa.
Turut hadir, Pengerusi MyWAC, Ts. Fadil Kawi danTimbalan Pengerusi MyWAC Kebangsaan, Ir. Mohd Neyzam Atan.
Oleh Faizah Muzidi


