Sarawak pacu ekosistem AI, cip dan satelit, sasar pelancaran satelit nano 2030

Facebook
WhatsApp
ABANG Johari, berkongsi visi pembangunan satelit nano dan ekosistem AI pada program Town Hall Agenda Sarawak di Manchester. Foto ihsan Pejabat Premier Sarawak.

MANCHESTER: Sarawak menyasarkan pelancaran satelit nano pertamanya menggunakan teknologi CubeSat menjelang 2030, sekali gus meletakkan negeri itu pada landasan baharu dalam pembangunan ekosistem berteknologi tinggi berasaskan cip, satelit, data geolokasi dan Grid Kecerdasan Buatan (AI) masa nyata.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata sasaran itu merupakan sebahagian daripada hala tuju negeri untuk menguasai teknologi masa depan yang semakin bergantung kepada AI, semikonduktor dan keupayaan pengurusan data masa nyata.

Menurutnya, teknologi satelit nano berasaskan CubeSat berpotensi membolehkan Sarawak membangunkan konstelasi satelit sendiri bagi memperoleh imej bumi, data geolokasi serta maklumat strategik yang boleh dimanfaatkan dalam pelbagai sektor pembangunan.

“Menjelang 2030, sasaran kita adalah untuk melancarkan satelit nano pertama menggunakan CubeSat. Melalui konstelasi satelit, kita boleh memperoleh imej bumi dan data geolokasi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi Town Hall Agenda Sarawak bertajuk ‘Sarawak Towards the Future’ sempena program Lan Berambeh Anak Sarawak 2026 Edisi UK, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata teknologi masa depan akan banyak bergantung kepada keupayaan cip, satelit dan Grid AI masa nyata yang saling berhubung.

“Teknologi masa depan amat bergantung kepada cip, satelit dan Grid AI masa nyata. AI pula sangat bergantung kepada cip, termasuk cip satelit,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan pembangunan bakat dalam bidang semikonduktor, AI, satelit, kejuruteraan dan data perlu diperkukuh bagi memastikan anak Sarawak mampu memenuhi keperluan ekonomi baharu menjelang 2030.

SESI soal jawab Town Hall Agenda Sarawak bertajuk ‘Sarawak Towards the Future’ sempena program Lan Berambeh Anak Sarawak 2026 Edisi UK, di Manchester, semalam. Foto ihsan Pejabat Premier Sarawak.

Sesi berkenaan dikendalikan oleh Setiausaha Politik kepada Premier, Dato Fazzrudin Abdul Rahman.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Menteri Kerja Raya Malaysia Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak Datuk Sharifah Hasidah Syed Aman Ghazali, serta Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Ibrahim Baki.- Sarawakku

Lubok Antu tertinggi, IPU 182 pagi ini

KUCHING: Lubok Antu merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tertinggi di Sarawak dengan 182, sekali gus berada dalam kategori tidak