KUCHING: Sarawak berpotensi membangunkan ladang solar menggunakan konsep solar bertingkat yang membolehkan kawasan di bawah panel dimanfaatkan bagi tujuan pertanian, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menurutnya, pendekatan berkenaan membolehkan satu kawasan dimanfaatkan untuk dua fungsi, iaitu penjanaan tenaga dan pengeluaran hasil pertanian.
“Kita dua fungsi: satu, tenaga; dua, mengeluarkan bahan pertanian. Jadi kita cukup,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Makan Malam dan Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Cawangan Negeri Sarawak Kali Ke-27 Tahun 2026, di sini, malam tadi.

Selain tenaga solar, beliau berkata Sarawak turut mempunyai potensi memanfaatkan sisa industri kelapa sawit untuk menghasilkan tenaga menerusi penggunaan biomassa.
Katanya, pendekatan itu selari dengan konsep waste-to-energy yang membolehkan sisa dimanfaatkan sebagai sumber tenaga dan bukan sekadar bahan buangan.
“Maknanya, kita hendaklah mempunyai satu dasar di mana kita menggunakan sisa untuk mengeluarkan tenaga, tenaga daripada sisa.
“Jadi inilah satu-satunya dasar kita untuk kita mengarahkan ekonomi kita melalui tenaga yang boleh diperbaharui,” katanya.
Beliau berkata, pemanfaatan sumber tenaga boleh diperbaharui seperti solar dan biomassa merupakan sebahagian daripada usaha Sarawak beralih ke arah ekonomi hijau, di samping mengimbangi pembangunan ekonomi dengan kelestarian alam sekitar.
Abang Johari turut menegaskan bahawa sumber semula jadi negeri perlu diurus secara bijak bagi memastikan ia dapat dimanfaatkan secara berterusan.
Katanya, kekuatan Sarawak dalam tenaga boleh diperbaharui memberi peluang kepada negeri itu untuk membangunkan ekonomi baharu berasaskan sumber yang lebih mampan, sekali gus menyokong usaha negeri menghadapi cabaran perubahan iklim.
Menurut Abang Johari, pendekatan memanfaatkan sumber tenaga boleh diperbaharui itu penting ketika dunia berdepan cabaran perubahan iklim serta kesan daripada pelepasan karbon.
“Hari ini kita berdepan dengan keadaan yang begitu mencabar dari sudut perubahan iklimperubahan iklim. Kita bermesyuarat dalam jerebu.”
“Disebabkan oleh pengeluaran karbon yang begitu banyak, kita merasai apa yang kesannya daripada pelepasan karbon,” katanya.
Beliau berkata, perubahan iklim turut memberi kesan kepada pelbagai aspek alam sekitar, termasuk peningkatan suhu dan kejadian berkaitan bencana alam di beberapa negara.
“Selain daripada jerebu, kita tahu apa yang berlaku di Nepal. Glasier cair dan menjadi satu daripada sebab kenapa ada bencana lumpur yang berlaku di negara Nepal.
“Jadi inilah yang kita jaga. Dalam kita menguruskan ekonomi, kita mesti melihat alam sekitar,” katanya.
Oleh Afiq Sallehi




