KUCHING: Sarawak komited untuk menjadi ‘Bavaria’ Malaysia yang menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan di negara ini, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Premier Sarawak berkata, Bavaria yang merupakan wilayah terkuat di Jerman menjadi teladan Sarawak dalam meingkatkan ekonomi serta pembangunan di negeri ini.
“Wilayah terkuat di Jerman ialah Bavaria sebab ekonominya kukuh dan Jerman sendiri serta Euro (mata wang) pun kuat.
”Sebab itulah Sarawak mahu jadi Bavaria buat Malaysia. Kita akan terus membangun ekonomi kita berlandaskan ekonomi baharu.
”Kalau Sarawak kuat, Malaysia juga akan kuat. Kalau Sarawak tidak kuat, Malaysia juga tidak akan kuat dan begitu juga sebaliknya bagi negeri-negeri yang lain.
”Justeru, kita mesti seiringan seperti pertandingan lumba perahu, mesti sama-sama, barulah perahu dapat bergerak laju seterusnya menyumbang kepada negara yang membangun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis penutupan Festival Kebudayaan Cina Kebangsaan ke-39 di Tebingan Sungai Kuching, di sini, malam tadi.
Dalam pada itu, beliau juga menyeru semua pihak untuk turut sama dalam menangani isu semasa yang semakin kritikal iaitu perubahan iklim.
”Suhu purata global kini sudah 1.46 darjah Celsius lebih panas daripada paras pra-industri dan angka ini sangat hampir dengan 1.5 darjah.
“Jika suhu mencecah 1.5 darjah Celsius, ia akan menjadi masalah besar bagi seluruh dunia.
”Justeru, kita mesti memainkan peranan dalam menangani isu ini. Sarawak tidak begitu kuat, namun kita menggunakan intelek dalam memberi sumbangan bagi mengatasi masalah dunia,” katanya.
Turut hadir ialah Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian dan Menteri Pengangkutan Dato Sri Lee Kim Shin; Presiden Gabungan Persatuan Cina Malaysia (Huazong), Tan Sri Goh Tian Chuan dan Presiden Persatuan Cina Sarawak, Dato Richard Wee Liang Chiat.
Difahamkan, festival itu akan dianjurkan di Johor pada tahun hadapan.
Oleh RYNNA SHA’ERRA