DARO: Perancangan pembangunan tanah di kawasan ini sangat penting bagi menjamin masa depan komuniti setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad berkata, menganggap ia sebagai pemangkin kepada pembangunan sesebuah kawasan.
“Perancangan pembangunan tanah di kawasan ini sangat penting bagi menjamin masa depan komuniti kawasanini.
“Kesedaran untuk mengubah hidup pada hari ini adalah perlu ke arah masa depan yang lebih cerah,” ujarnya.
Tambah beliau, Kerajaan Sarawak sangat komited bagi memperkasakan bidang pertanian seperti mana yang dibentang dalam Bajet Sarawak 2021.
Pembangunan infrastruktur seperti jalan raya juga memainkan peranan penting dalam memajukan bidang pertanian terutama untuk memasarkan hasil pertanian.
“Kawasan kita ini juga terlibat dalam Projek Food Basket yang sedang dibangunkan Kerajaan Sarawak.
“Justeru, apabila siapnya kemudahan asas jalan raya bagi menghubungkan kawasan ini dengan kawasan bandar kelak, ia akan memudahkan pengusaha pertanian untuk mengembangkan perusahaan mereka,” tambahnya.
Safiee berkata demikian pada Majlis Perasmian Program Jangkauan Komuniti Pertanian (AgriCOP) Siri 5 anjuran Jabatan Pertanian Sarikei dan Pertubuhan Peladang Kawasan Matu-Daro, di Dewan Sri Segalang, Kampung Sebena, Meradong, baru-baru ini.
Menurut beliau, AgriCOP bertepatan dengan aspirasi tersebut sekali gus mencetus minat penduduk setempat untuk menceburi bidang pertanian.
“Program ini sangat tepat bagi meningkatkan taraf ekonomi penduduk di kawasan luar bandar.
“Ia bertujuan mendedahkan petani di Sarawak kepada teknologi moden dalam mengusahakan bidang pertanian.
“Jangan jual tanah kepada pihak luar yang cuba mengambil kesempatan termasuk mendengar hasutan daripada pihak luar yang tidak mahu melihat kita membangun.
“Tanah Hat Adat Bumiputera (NCR) yang belum diusahakan boleh disewa kepada syarikat besar bagi mengusahakannya,” tambah beliau.
Pada masa sama, Safiee juga berharap penduduk tempatan memanfaatkan pelbagai bantuan daripada kerajaan bagi mengembangkan sektor pertanian yang diceburi.
“Bagi memajukan diri melalui bidang pertanian terpulang pada diri kita sendiri. Manfaat bantuan kerajaan dengan cara yang betul seperti bantuan peralatan, benih, baja dan sebagainya.
“Selepas ini, melalui Kementerian Pertanian kita akan mengadakan dialog di kawasan kita umpamanya, cara untuk kita memajukan tanah milik penduduk yang belum diusahakan di kawasan ini,” ujar Safiee.
Kursus yang berorientasikan ceramah dan praktikal berkaitan pertanian moden seperti fertigasi dan hidroponik berkenaan menarik penyertaan 50 peserta dari Kampung Sebena dan sekitarnya.
Turut hadir, Bijai Entili yang mewakili Pegawai Pertanian Bahagian Sarikei, Ting Kai Siang mewakili Pegawai Daerah Meradong, Penghulu Hasim Sulhi dari Meradong dan Ketua Kaum Kampung Sebena, Affendi Tani.
Oleh HENRY B SIYU