KUCHING: Inisiatif strategik Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam menceburi pelbagai sektor ekonomi telah membuahkan hasil yang mengagumkan sekali gus menjadikan Sarawak antara negeri paling progresif di Malaysia.
Melalui langkah inovatif seperti pelaksanaan cukai jualan negeri, Sarawak berjaya meningkatkan pendapatannya secara drastik, mencatatkan jumlah tertinggi RM14 bilion pada tahun ini.
Dalam temu bual khas Pasca-Belanjawan Sarawak 2025 terbitan TVS, Premier Sarawak menjelaskan bahawa strategi ini berakar umbi pada kajian mendalam mengenai potensi ekonomi negeri.
“Saya buat kajian di mana Sarawak boleh melaksanakan cukai jualan yang tidak pernah dilaksanakan.
“Saya melihat ini sebagai asas untuk kita menaikkan pendapatan kita, jadi saya laksanakan cukai jualan yang hanya diperuntukan untuk negeri Sarawak dan Sabah.
“Ini adalah satu daripada rangka persetujuan ketika kita menubuhkan negara Malaysia dalam perlembagaan kita,” katanya.
Abang Johari juga memberitahu cukai jualan minyak dan gas dengan kadar lima peratus sahaja telah menyumbang pulangan besar kepada negeri, kira-kira RM2.5 bilion hingga RM3 bilion setahun, bergantung pada harga pasaran.
Selain itu jelasnya, cukai ke atas eksport kelapa sawit dan komoditi lain turut memberikan hasil yang memberangsangkan.
“Kita mengeluarkan tenaga hidro berteraskan air dan ini memberikan royalti kepada kita. Selain itu, cukai perkhidmatan juga menyumbang kepada pendapatan negeri,” katanya.
Beliau berkata, pendapatan negeri pada awalnya sekitar RM5 bilion hingga RM6 bilion.
Namun, melalui langkah kepelbagaian ekonomi, hasil negeri melonjak hingga RM14 bilion, membolehkan bajet 2025 ditetapkan pada RM15.8 bilion.
“Kita menguruskan ekonomi secara berhemah. Sebab itulah hasil kita akan terus meningkat,” katanya. – EDISI UKAS