KUCHING: Pemberian surat hak milik tanah kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba’Kelalan, Baru Bian adalah bukti kesungguhan Kerajaan Sarawak mengiktirafkan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) bawah Seksyen 18 dan hak rakyat.
Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Idris Buang berkata, bekas Menteri Kerja Raya itu sepatutnya sedar tujuan Seksyen 6 dan 6A Kanun Tanah Negeri seperti yang dipinda sebelum ini.
“Kawasan itu dikenal pasti secara eksklusif sebagai hak komuniti Lun Bawang berbanding pihak lain dan penyukatan di bawah Seksyen 6 mungkin tidak dapat dilakukan sekiranya Baru dan keluarganya membantah tetapi, mereka tidak pernah membantah.
“Sikap bisu dan senyap yang ditunjukkan oleh Baru dalam hal terbabit, membuktikan bahawa beliau bersetuju dengan proses penyukatan tanah di bawah Seksyen 6 sebelum dilanjutkan ke Seksyen 18,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.
Idris yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang itu berkata demikian sebagai maklum balas kepada kenyataan yang dikeluarkan Baru mengenai pengeluaran surat hak milik tanah yang diterimanya.
Tambah Idris, Baru memilih untuk bermain politik, sekali gus memberi gambaran yang jelas mengenai ia adalah alasan undang-undang di luar pemahaman kita.
“Wilayah domain (TD) yang dituntut oleh komuniti Baru di Lun Bawang adalah kawasan luas apabila disukat di bawah Seksyen 6.
“Penyukatan tanah di bawah Seksyen 18 dapat menjimatkan masa apabila TD mereka dibahagikan kepada lot individu sebelum dikeluarkan surat hak milik tanah di bawah Seksyen 6.
“Fakta membuktikan penyukatan di bawah Seksyen 6 hanya “transit” atau “pendahulu” kepada Seksyen 18 membantu mempercepatkan pengeluaran surat hak milik tanah,” jelasnya. Beliau juga menggesa masyarakat untuk tidak terpengaruh dengan komen berniat jahat mengenai pengiktirafan Kerajaan Sarawak.
Oleh Zarina Abdullah