PETRA JAYA: Kerajaan Sarawak akan memberhentikan penyaluran peruntukan pentadbiran kepada syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bermula 2027.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, langkah ini akan bermula dengan Lembaga Kemajuan Ekonomi Sarawak (SEDC) dan Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA).
“Ini bermakna kita (Sarawak) boleh berjimat dan menggunakan pendapatan yang ada untuk menaik taraf infrastruktur strategik termasuklah perkhidmatan untuk
melaksanakan projek infrastruktur asas seperti sekolah dan klinik, yang seterusnya memberi manfaat kepada rakyat.
“Kami (pada masa ini) memberi bajet kepada GLC dan badan berkanun. Apa yang kita mahu sekarang ialah mereka mencari pendapatan sendiri, kerana beberapa anak syarikat mereka juga terlibat dalam perdagangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan majlis Persidangan Juruaudit Kebangsaan 2024; Memperkasa Tatakelola Mendepani Cabaran Masa Kini di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.
Abang Johari turut menyatakan keyakinannya terhadap SEDC dan BDA dapat berdiri sendiri dengan hasil yang diperoleh.
“SEDC mempunyai kepentingan dalam projek metanol. Sementara itu, BDA boleh melabur dalam industri di Taman Perindustrian Samalaju. Saya yakin mereka boleh berdiri sendiri.
“Aalah penting bagi GLC untuk mengubah pemikiran mereka bergantung hanya kepada kerajaan untuk pembiayaan. Jika tidak, mereka akan fikir kalau rugi kerajaan tetap akan memberi wang peruntukan.
“Budaya ini perlu diubah,” tegasnya.
Terdahulu, dalam ucapannya, Abang Johari berkata, langkah menghentikan pembiayaan GLC bertujuan mencapai pengurusan kejat atau lean management.
Lean management bermaksud satu pendekatan untuk menjalankan sesebuah organisasi yang menyokogn konsep penambahbaikan berterusan bagi perkhidmatan atau proses yang memerlukan ‘tambahan’ peningkatan dari masa ke masa untuk meningkatkan kecekapan dan kualiti terutamanya melibatkan pengukuhan kedudukan kewangan.
GLC, kata Abang Johari lagi, harus meneroka sektor yang akan memberikan pulangan yang baik dan dengan adanya pendekatan ini, ujarnya, kedua-dua GLC dan kerajaan akan mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh.
Oleh Azreen Keria