
KUCHING: Kerajaan Sarawak berharap agar negeri ini turut menerima manfaat daripada pelaburan jangka panjang Amazon Web Services (AWS) yang diumumkan baru-baru ini, dalam usaha mempercepatkan agenda transformasi digital menjelang 2030.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, pelaburan bernilai RM29.2 bilion oleh AWS di Malaysia hingga 2038 membuka peluang besar kepada pembangunan digital di negeri ini, terutamanya di kawasan luar bandar yang masih memerlukan kemajuan dalam capaian teknologi.

“Dengan saiz Sarawak yang hampir sama dengan Semenanjung Malaysia, kami percaya negeri ini wajar diberikan perhatian dalam pengagihan pelaburan tersebut.
“Kami mahu transformasi digital berjalan dengan pantas dan menyeluruh di seluruh Sarawak. Jika kita dapat mempercepatkan proses ini, terutamanya di kawasan luar bandar, ia akan menjadi pencapaian besar ke arah matlamat kita menjelang 2030,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sarawak Public Sector Innovation Forum & Malaysia Media Briefing yang diadakan di Hotel Hilton, hari ini.
Menurut Julaihi, pelaburan strategik seperti yang diumumkan AWS sangat penting untuk memastikan Sarawak mampu bergerak seiring dengan arus kemajuan teknologi global.
“Kami berharap, dengan jumlah pelaburan yang besar ini, sebahagiannya dapat diperuntukkan kepada Sarawak sama ada dalam masa terdekat atau pada fasa akan datang,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa Sarawak bersedia memainkan peranan aktif dalam kerjasama bersama pihak AWS, selain memberi jaminan bahawa negeri ini mempunyai kestabilan politik dan ekonomi yang kukuh bagi menarik keyakinan pelabur.
Oleh Amanda L.