
MANCHESTER: Dua keutamaan strategik yang bakal menentukan hala tuju masa depan Sarawak ialah pengukuhan ekonomi berasaskan ‘kuasa otak’ serta pemerkasaan hubungan global bagi membuka lebih banyak peluang di peringkat antarabangsa.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak tidak boleh terus bergantung kepada sumber semula jadi seperti minyak dan gas yang bersifat terhad, sebaliknya perlu beralih kepada ekonomi berasaskan pengetahuan dan inovasi.
Menurut beliau, usaha itu perlu disokong dengan pengurusan kewangan berhemah termasuk penubuhan Dana Kekayaan Berdaulat Sarawak yang kini mencecah RM8.6 bilion setakat tahun lalu.
Jelasnya, dana tersebut tidak akan disentuh dalam tempoh 20 tahun sebagai langkah memastikan kestabilan ekonomi jangka panjang negeri.

“Kalau kita kuat dari segi ‘kuasa otak’ dan bijak menguruskan kewangan, masa depan Sarawak akan terus terjamin walaupun berdepan ketidaktentuan ekonomi global,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Anak Sarawak di sini, malam tadi.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan keperluan Sarawak memperkukuh jaringan antarabangsa melalui peningkatan hubungan global termasuk penubuhan syarikat penerbangan sendiri, AirBorneo serta pengukuhan peranan pelabuhan strategik seperti Pelabuhan Bintulu.
Menurutnya, langkah tersebut penting dalam meletakkan Sarawak sebagai hab strategik yang menghubungkan laluan perdagangan antara Barat dan Timur, khususnya dalam konteks pertumbuhan ekonomi ASEAN serta perubahan landskap teknologi hijau.

Selain itu, beliau turut menekankan potensi besar Sarawak dalam pengeluaran tenaga hijau seperti metanol hijau yang dijangka menjadi bahan api masa depan industri perkapalan global.
“Dengan kedudukan strategik dan peralihan kepada teknologi hijau, Sarawak berpotensi menjadi pemain utama dalam ekonomi baharu serantau,” katanya.