Sarawak cipta sejarah tuan rumah HPTN 2026 peringkat kebangsaan

Facebook
WhatsApp
PENGARAH Kerja Raya Sarawak, Datu Dr. Cassidy Morris bersama Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan (tengah) pada Majlis Pra Pelancaran Hari Profesion Teknikal Negara (HPTN) 2026 peringkat kebangsaan di Kuala Lumpur, hari ini. Foto JKR Sarawak

KUALA LUMPUR: Sarawak mencipta sejarah apabila dipilih sebagai tuan rumah Hari Profesion Teknikal Negara (HPTN) 2026 peringkat kebangsaan yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada 1 dan 2 Disember ini.

Penganjuran berkenaan bakal menghimpunkan pengamal profesion teknikal dari seluruh negara bagi memperkukuh perkongsian kepakaran, jaringan profesional serta kerjasama merentas pelbagai disiplin.

Pengarah Kerja Raya Sarawak, Datu Dr. Cassidy Morris, hari ini menghadiri Majlis Pra Pelancaran HPTN 2026 peringkat kebangsaan di Kuala Lumpur yang menandakan bermulanya persiapan bagi penganjuran acara berkenaan di Sarawak.

Bertemakan ‘Profesion Teknikal Memacu Kelestarian’, HPTN 2026 memberi penekanan terhadap peranan penting profesion teknikal dalam menyokong pembangunan negara, khususnya menerusi inovasi, teknologi dan pembangunan mampan.

Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia, Dato’ Ibrahim Esa, berkata kepakaran teknikal perlu terus diiktiraf dan diperkasakan supaya bidang berkenaan kekal relevan serta dihargai dalam pembangunan negara.

RAKAM kenangan pada Majlis Pra Pelancaran HPTN 2026 peringkat kebangsaan di Kuala Lumpur. Foto JKR Sarawak 

Beliau turut menekankan kepentingan menarik minat generasi muda terhadap profesion teknikal dengan memastikan bidang itu dilihat sebagai pilihan kerjaya yang mempunyai prospek serta masa depan yang cerah.

Menurutnya, walaupun pengamal profesion teknikal terdiri daripada pelbagai disiplin dan bidang kepakaran, mereka berkongsi matlamat yang sama untuk membangunkan negara.

Sementara itu, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan, berkata HPTN menjadi wadah penting untuk memperkukuh jaringan sinergi antara pengamal profesion teknikal daripada pelbagai bidang.

Katanya, penganjuran itu turut berperanan meningkatkan kesedaran terhadap profesion teknikal sebagai pilihan kerjaya, terutama dalam kalangan generasi muda, selain mengetengahkan perkembangan inovasi dan teknologi serta kepentingannya dalam pembangunan negara.

Majlis pra pelancaran itu turut menyaksikan penyampaian penghargaan kepada rakan kolaborasi dan rakan strategik HPTN 2026 sebagai tanda pengiktirafan terhadap komitmen, sokongan dan kerjasama yang diberikan bagi menjayakan penganjuran berkenaan.

Dengan Sarawak sebagai tuan rumah, HPTN 2026 dijangka menjadi platform penting untuk mempertemukan pengamal profesion teknikal dari seluruh negara di Bumi Kenyalang, sekali gus membuka lebih banyak ruang untuk perkongsian ilmu, kepakaran dan kerjasama profesional.