SHEILA ZAIDI
KUCHING : Sarawak semalam merekodkan tiga lagi kes positif Covid-19 baharu menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 488 kes.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, daripada tiga kes tersebut, satu kes adalah dari Kuching, satu kes dari Samarahan dan satu lagi kes dari Bintulu.
“Sementara itu, 17 kes telah sembuh dan didiscaj dari hospital menjadikan jumlah keseluruhan kes sembuh 194.
“Daripada 17 kes tersebut, 16 kes adalah dari Hospital Umum Sarawak (HUS) dan satu kes dari Hospital Miri,” katanya pada sidang media harian berkenaan dengan situasi Covid-19 di negeri ini di sini semalam.
Menurut Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), bilangan Orang Yang Disyaki (PUI) semalam bagaimanapun meningkat sebanyak 183 kes berbanding 177 kes pada Ahad.
Katanya, jumlah PUI yang masih menunggu keputusan makmal pula adalah sebanyak 332 kes.
Tambah beliau, terdapat dua penambahan kes yang melibatkan Petugas Kesihatan Kuching menjadikan seramai 52 orang petugas kesihatan disahkan positif Covid-19 dengan seramai 21 orang daripadanya merupakan sebahagian daripada Kluster Kuching Conference.
Manakala baki 31 orang adalah mereka yang melibatkan kluster-kluster kecil, ujarnya.
“Semalam juga menyaksikan seramai 82 orang lagi Orang Di bawah Pengawasan (PUS) baharu telah mendaftar masuk di hotel.
“Jumlah ini menjadikan keseluruhan adalah 1,160 orang telah dikuarantin di 20 buah hotel di seluruh negeri Sarawak yang diguna pakai sebagai Pusat Kuarantin,” jelas beliau.
Uggah memberitahu seramai 1,128 telah lengkap menjalani tempoh kuarantin dan telah dibenarkan pulang ke rumah.
Bercakap mengenai kadar pematuhan pula, Sarawak mencatatkan sebanyak 97 peratus pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), katanya.
Pada Ahad, Polis telah menangkap seramai 63 orang kerana melanggar PKP dan sehingga semalam sejak tempoh PKP bermula 18 Mac, sebanyak 1,767 orang telah ditangkap.