KUCHING : Sarawak mencatatkan satu lagi kematian akibat jangkitan COVID-19 semalam dan menjadikan jumlah kematian di negeri ini sebanyak sembilan kes.
Timbalan Ketua Menteri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, terdapat 23 kes baharu positif COVID-19 dicatatkan semalam yang menjadikan jumlah bilangan kes di Sarawak sebanyak 211 kes sejak kes positif pertama dilaporkan pada 13 Mac 2020.
“Daripada 23 kes ini, 21 kes sedang dirawat di Hospital Umum Sarawak (HUS) dan dua kes di Hospital Sibu.
“Sebanyak 91 kes baharu Orang Yang Disyaki (PUI) juga dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 1,379 kes,” katanya kepada pemberita dalam sidang media JPBN yang diadakan di Wisma Bapa Malaysia semalam.
Menurut Uggah, daripada jumlah tersebut, 1,082 kes adalah negatif dan 86 kes PUI masih menunggu keputusan makmal.
Katanya, bagi PUI baharu di Kuching semalam adalah sebanyak 63 kes yang mana 33 kes adalah yang telah di saring di Kompleks Belia dan Sukan (KBS) sementara 30 kes adalah daripada HUS.
Manakala, bagi PUI baharu di daerah lain pula adalah seramai 16 orang di Samarahan, empat di Bintulu, tiga di Miri, dua di Betong dan masing-masing seorang di Asajaya, Serian dan Mukah, katanya.
Hadir sama di sidang media semalam ialah Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dato Sri Dr. Sim Kui Hian, Menteri Muda Hal Ehwal Korporat dan UKAS Abdullah Saidol dan Pengarah Kesihatan Sarawak Dr Chin Zin Hing.
Sementara itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam sidang media berasingan semalam memberitahu, mangsa yang meninggal dunia dari Sarawak merupakan pesakit ke 1273 di Malaysia.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, mangsa merupakan seorang lelaki warganegara Malaysia yang berumur 61 tahun dan mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif COVID-19 yang ke 2107. Beliau telah dirawat di HUS pada 20 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 1 April 2020 jam 8.36 malam.