
DUA nama besar dalam industri muzik hip hop Sarawak, MC Wayne berkolaborasi dengan rapper solo popular Knowno menerusi single berjudul ‘SAR-A-WAK’.
Bersatu dalam industri muzik hip hop, peminat sedia maklum bahawa MC Wayne dari kumpuan The Family Man yang popular menerusi lagu Tok Bok Nya, Distriz Tigabelas dan S Kuasa 3, manakala Knowno bergerak secara solo menerusi lagu popular Matahari dan Kisah Cinta Liya.
Menurut MC Wayne, bercerita bagaimana dia dan Knowno bergabung dengan single ‘SAR-A-WAK’ adalah sesuatu keajaiban dan pertemuan yang ditakdirkan.

menerusi single ‘SAR-A-WAK’ bakal cetus fenomena
“Kami berdua pernah ingin merakam single pertama pada 2007 ketika zaman menggunakan SMS. Walaupun ketika itu saya hanya pernah mendengar nama Knowno tetapi belum pernah bersemuka.
“Ketika itu kami berdua bersaing atau rival dalam industri muzik hip hop di Sarawak. Pada 2023 kami berjumpa di Bintulu ketika beraksi di pentas yang sama. Pertama kali saya bersembang dengan Knowno. Di situlah permulaan tercipta single ‘SAR-A-WAK’,” jelas MC Wayne kepada Utusan Sarawak.
Katanya, single ‘SAR-A-WAK’ adalah hadiah daripadanya dan Knowno untuk peminat di Sarawak kerana mereka sekian lama menyepi dan diselubungi dengan pelbagai kontroversi.
Tambahnya, gabungan ini merupakan inspirasi mereka kepada peminat muzik hip hop Sarawak bahawa mereka masih ada dan tidak akan berhenti berkarya selagi masih ada rezeki.
“Single ‘SAR-A-WAK’ Vol.1 dicipta oleh JRZ salah seorang ‘beatmaker’ dari Kuching dan JRZ juga merupakan ‘music arranger’ untuk single ‘SAR-A-WAK’,” katanya.
“Untuk Vol. 1 saya dan Knowno berkolaborasi bersama FAZZ ONE D antara rapper yang mempunyai lirik dan flow yang unik di Sarawak. Lirik lagu ini dihasilkan oleh Knowno, saya dan FAZZ ONE D.
“Jika ada single Vol1 muncul, akan ada Vol2. Untuk Vol2 sudah siap dirakam menampilkan rapper yang ada di seluruh Sarawak. Rakaman untuk lagu ini tidaklah mengambil masa yang lama disebabkan masing-masing berpengalaman dalam dunia rakaman. Rakaman me-ngambil masa selama sehari di Studio JRZ tetapi mixing dan mastering mengambil masa seminggu,” jelas MC Wayne.
Tambahnya, mesej yang disampaikan menerusi single ‘SAR-A-WAK’ menceritakan tentang anak Sarawak yang pantang menyerah kalah walaupun dihina dan dicemuh. Ia juga memberi pengajaran bahawa adab dan hormat amat penting kepada semua lapisan usia dalam masyarakat.
“Single ini pasti memberi semangat kepada anak Sarawak yang berada di luar negara disebabkan liriknya menampilkan loghat Sarawak.
“Saya berharap lagu ini diterima oleh orang Sarawak dan menjadi pengajaran kepada golongan belia. Pesanan saya jagalah adab kita sebagai orang Sarawak,” katanya.