KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Fazzrudin Abdul Rahman menyambut baik tujuh tawaran transformasi parlimen dan pentadbiran kerajaan yang meliputi pelbagai reformasi institusi dan pindaan perlembagaan seperti yang diwar-warkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Katanya, tawaran berkenaan dilihat mampu membaik pulih sistem demokrasi negara ini terutamanya melalui cadangan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Anti-Lompat Parti di Parlimen.
“Dengan reformasi dalam sudut ini, ia akan mengembalikan suara rakyat dalam menentukan sesebuah kerajaan dan tidak lagi terletak pada pendirian wakil rakyat semata-mata.
“Dalam tempoh tiga tahun selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), terdapat banyak perubahan kerajaan yang dipengaruhi perubahan parti di peringkat ahli parlimen dan juga ahli Dewan Undangan Negeri.”
Jelas beliau, ini harus dihentikan kerana ia menyumbang ketidakstabilan politik tanah air yang mengganggu perancangan jangka panjang sesebuah kerajaan dan juga gerak kerja untuk menyantuni rakyat.
“Dengan adanya RUU ini, ia akan dapat membantu kerajaan sedia ada untuk terus memerintah dan menyumbang khidmat bakti kepada masyarakat tanpa perlu risau akan pergolakan politik yang boleh menyebabkan sesuatu kerajaan itu tumbang.
“Berkenaan RUU Pindaan Perlembagaan untuk pelaksanaan Undi18 dalam tempoh terdekat, saya juga berharap ini disokong oleh semua seiring dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuching yang memutuskan Undi18 harus dilaksanakan sebelum 31 Disember,” ujar Fazzrudin semalam dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, adalah perlu untuk kerajaan mempercepatkan proses pelaksanaan Undi18 yang membolehkan golongan berumur 18 hingga 21 memainkan peranan dalam sistem demokrasi negara dan seterusnya memahami konsep pengurusan kerajaan.
“Saya juga menyambut baik pengumuman Perdana Menteri untuk melibatkan wakil parti pembangkang dalam Majlis Pemulihan Negara. Ini akan menggalakkan pendekatan ‘whole-of-society’ dalam memulihkan negara dari krisis Covid-19 dan juga ekonomi.
“Ini sejajar dengan titah nasihat Yang di-Pertuan Agong yang menekankan pentingnya pentadbiran yang stabil dan dapat berfungsi secara biasa dalam keadaan negara menghadapi pelbagai krisis.
“Saya berharap tawaran yang dikemukakan oleh Perdana Menteri disambut baik oleh semua pihak dan seterusnya membuka lembaran baharu dalam pemerintahan tanah air seiring dengan konsep Keluarga Malaysia,” ujarnya.
Oleh AZREEN KERIA