KUALA LUMPUR: Bekas setiausaha eksekutif kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam mengaku di Mahkamah Tinggi di sini bahawa beliau cuai dalam menguruskan beberapa keping cek Yayasan Akalbudi bagi pembayaran kredit kad milik bekas timbalan perdana menteri itu.
Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly, 42, yang merupakan saksi utama pendakwaan berkata, beliau mengakui kesilapannya yang telah membuat pembayaran kad kredit melebihi daripada jumlah yang sepatutnya dengan menggunakan cek yayasan itu.
Beliau berkata demikian ketika disoal balas oleh peguam Datuk Ahmad Zaidi Zainal yang mewakili Ahmad Zahid, pada perbicaraan hari ke-40 Presiden UMNO itu yang menghadapi pertuduhan rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan jutaan ringgit daripada dana Yayasan Akalbudi.
Ahmad Zaidi : Merujuk kepada satu penyata kad kredit bertarikh 28 Disember 2013 yang mempunyai jumlah baki semasa (jumlah sepatutnya perlu dibayar) sebanyak RM65,153.32, namun Puan Mazlina membayar lebih iaitu RM71,283.17 dalam dua cek berasingan iaitu yang benilai RM63,701.52 dan RM7,581.65.
Mazlina: Ya, Yang Arif
Saksi pendakwaan ke-90 itu juga bersetuju dengan Ahmad Zaidi bahawa itu adalah kesilapannya.
Ahmad Zaidi: Dalam penyataan saksi, Puan Mazlina ada beritahu Datuk Seri Zahid merupakan seorang yang teliti, sekiranya teliti (Ahmad Zahid) beliau tidak membenarkan pembayaran itu (bayar lebih).
Mazlina: Tidak setuju.
Ahmad Zaidi: Puan Mazlina tidak pernah menunjukkan penyata kad kredit dan cek pembayaran kepada Datuk Seri Zahid.
Mazlina: Ya, Yang Arif.
Kepada soalan Ahmad Zaidi, bagaimana saksi itu boleh membuat pembayaran menggunakan cek bertarikh 7 Januari 2014 dengan jumlah yang tepat, sedangkan penyata kad kredit itu keluar pada 28 Januari 2014, Mazlina menjawab, “Saya tersalah tulis tarikh (bulan Januari) pada cek, sepatutnya bulan Februari.”
Ahmad Zaidi: Ini juga menunjukkan kecuaian kamu?
Mazlina: Ya, Yang Arif.
Sementara itu, ditanya Ahmad Zaidi, adakah cop tandatangan Ahmad Zahid digunakan untuk cop sijil dan kad jemputan secara lambak (banyak-banyak) Mazlina menjawab “Ya, Yang Arif”.
Mazlina juga berkata, beliau tidak mengetahui bahawa Yayasan Akalbudi tidak pernah membuat apa-apa ‘special resolution’ atau memberikan apa-apa spesimen cop kepada Affin Bank untuk membenarkan cop ditandatangan bagi pihak yayasan itu.
Saksi itu tidak bersetuju dengan peguam bahawa Ahmad Zahid membenarkannya menggunakan cop tandangan untuk sekali sahaja.
Disoal Ahmad Zaidi adakah kebenaran Ahmad Zahid untuk membenarkannya menggunakan cop pada cek Yayasan Akalbudi adalah anggapannya, Mazlina menjawab “ini adalah arahan yang jelas”.
Ahmad Zaidi: Adakah itu (arahan) hanya ‘blanket approval’ semata-mata?
Mazlina: Ya, Yang Arif.
Selasa lalu, Mazlina memberitahu mahkamah bahawa Ahmad Zahid membenarkankannya menggunakan cop tandatangan tertuduh pada cek-cek Yayasan Akalbudi bagi pembayaran bil kad kredit pada 2014.
Ahmad Zahid berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.
Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran manakala pasukan pembelaan diketuai peguam Hisyam Teh Poh Teik.
Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah. – Bernama