Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • GLOBAL
  • Saintis temui yis dalam usus manusia ais purba, hasilkan ‘sourdough’
  • GLOBAL

Saintis temui yis dalam usus manusia ais purba, hasilkan ‘sourdough’

Utusan Sarawak 4 hours ago
GAMBAR hiasan.

PARIS: Yis yang telah hidup dalam usus mumia beku dikenali sebagai Ötzi the Iceman selama ribuan tahun berjaya ditemui saintis, malah mereka menggunakannya untuk menghasilkan roti masam (sourdough) yang enak.

Lebih 5,300 tahun lalu sebelum pembinaan piramid Mesir Ötzi sedang berjalan di kawasan Alps di sempadan Austria dan Itali sebelum dibunuh dengan anak panah yang mengenai belakang badannya.

Mayatnya kekal beku di dalam ais sehingga ditemukan oleh dua pendaki dari Jerman pada 1991 di wilayah Tyrol Selatan, utara Itali.

Sejak itu, mayat yang terpelihara dengan sangat baik itu disimpan pada suhu sama seperti tempat ia ditemui, iaitu minus enam darjah Celsius.

Keadaan tersebut membolehkan saintis mengkaji Ötzi dengan teliti, sekali gus memberikan gambaran yang amat jarang diperoleh mengenai kehidupan manusia purba.

Bagi kajian terbaharu yang diterbitkan dalam jurnal Microbiome pada Rabu, sekumpulan penyelidik berpangkalan di Itali menemui bukti bahawa hidupan mikrob purba dan moden masih aktif dalam tubuh mumia tersebut.

“Kami tidak menjangka akan menemui yis,” kata ketua penulis kajian, Mohamed Sarhan dari Institut Eurac Research di Bolzano, Itali kepada AFP.

Yis hasilkan ‘sourdough’

Para saintis menemui empat jenis yis berbeza yang mampu hidup dalam suhu bawah sifar di usus, kulit serta air berwarna kecoklatan yang terhasil apabila sebahagian tubuh Ötzi dicairkan.

Yis jenis ini hanya hidup dalam persekitaran yang sangat sejuk seperti di Antartika dan dipercayai memasuki tubuh Ötzi selepas kematiannya.

Analisis genetik menunjukkan tahap kerosakan DNA yis tersebut hampir sama dengan mikroorganisma asal yang terdapat dalam usus Ötzi, sekali gus menunjukkan ia mungkin memasuki tubuh itu tidak lama selepas kematiannya.

“Yis ini telah menemani Ötzi sepanjang perjalanannya merentasi ribuan tahun,” kata penulis bersama kajian, Frank Maixner.

Para penyelidik kemudian membiakkan semula yis daripada usus itu dalam peti sejuk.

“Apabila anda memberitahu seseorang bahawa anda mempunyai yis, soalan pertama yang akan ditanya ialah sama ada ia boleh digunakan untuk membuat roti,” kata Sarhan.

Lalu mereka cuba menghasilkan ‘sourdough’.

“Pada mulanya ia tidak berjaya,” akuinya.

Namun selepas tiga bulan mencuba, mereka akhirnya berjaya menghasilkan “ ‘sourdough’ yang sangat baik”.

Ketika ditanya sama ada yis itu akan digunakan untuk menghasilkan bir, Sarhan menjawab sambil bergurau: “Ia ada dalam senarai.”

Selain menghasilkan makanan, kajian itu turut menunjukkan potensi lain yis tersebut.

Ketika mumia itu ditemui pada 1991, ia pada mulanya dirawat seperti mayat biasa. Bahan kimia fenol digunakan bagi menghalang pertumbuhan kulat pada tubuhnya.

Bagaimanapun, yis yang ditemui itu didapati mampu menguraikan fenol, sekali gus berpotensi digunakan pada masa depan untuk membersihkan persekitaran yang tercemar dengan bahan kimia tersebut.

Gambaran mikrobiom manusia purba

Yis bukan satu-satunya penemuan mengejutkan dalam tubuh Ötzi.

Analisis mikrobiomnya turut menemukan sejenis bakteria usus yang hampir pupus dalam kalangan manusia moden.

Walaupun hampir tidak lagi ditemui dalam sistem pencernaan masyarakat dunia perindustrian, bakteria itu masih dikesan dalam kalangan beberapa suku kaum di Afrika dan Amerika Selatan.

Bakteria yang sama turut ditemui dalam najis berusia 3,000 tahun yang terpelihara di lombong garam Hallstatt, Austria, yang menjadi antara sumber terhad untuk mengkaji mikrobiom manusia purba.

Menurut Sarhan, Ötzi dan para pelombong garam zaman gangsa dipercayai mengamalkan diet yang mengandungi lebih banyak serat dan bijirin penuh berbanding manusia moden.

Kajian itu menyimpulkan bahawa Ötzi bukan sekadar ‘kapsul masa’ biologi yang beku, sebaliknya merupakan satu ekosistem kompleks yang masih aktif.

Namun, masih terlalu awal untuk menentukan sama ada yis tersebut memberi kesan buruk kepada mumia itu, kata Sarhan sambil menggesa lebih banyak kajian dijalankan.

Sementara itu, penyelidik dari Institut Sintesis Organik Latvia, Nikolay Oskolkov, yang tidak terlibat dalam kajian tersebut, berkata penemuan bahawa mikrobiom Ötzi tidak benar-benar ‘beku’ adalah sesuatu yang menarik.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa sampel yis hanya diambil pada 2010 dan 2019.

Menurutnya, tempoh itu memberikan bukti yang sangat terhad untuk menyimpulkan bahawa yis tersebut telah membiak selama ribuan tahun, malah beliau percaya ia mungkin merupakan penghuni yang agak baharu dalam tubuh mumia berkenaan.

-AFP

Tags: Global

Continue Reading

Previous: Pendaki cedera parah diserang beruang di Slovakia

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.