SINGAPURA: Ahli mikrobiologi terkenal Belanda, Profesor Gertjan Medema dianugerahkan Lee Kuan Yew Water Prize 2024 atas impak global hasil kajiannya dalam bidang epidemiologi berasaskan air sisa (WBE) yang membolehkan penggunaan pemantauan air sisa semasa pandemik Covid-19 untuk melawan penularan virus itu.
Medema, 62, penerima ke-10 anugerah yang diperkenalkan sejak 2008, menerima sebutir pingat emas daripada Presiden Singapura Tharman Shanmugaratnam pada majlis penyampaian anugerah itu, semalam, di sini.
Beliau juga menerima S$300,000 dan sijil anugerah.
Pakar mikrobiologi utama di Institut Penyelidikan Air KWR di Belanda itu berkata anugerah ini adalah satu kemuliaan kepada setiap orang dalam bidang sains.
“Saya berasa rendah diri dengan anugerah ini. Saya dedikasikan anugerah ini kepada semua yang meneroka, menyokong dan menggunakan pemantauan air sisa sebagai alat kesihatan awam, dan menjadikannya kejayaan seperti hari ini,” katanya sambil menambah bahawa wang hadiah akan digunakan untuk penyelidikan lanjut.
Penyelidikan Medema berkisar kepada memahami penularan patogen bawaan air dan ketahanan antimikrob melalui sistem air, serta termasuk membangunkan kaedah untuk mengesan dan menjejaki patogen seperti virus, bakteria, dan parasit dalam air.
Beliau memulakan penyelidikan mengenai pemantauan kumbahan SARS-CoV-2 semasa pandemik Covid-19, yang menginspirasikan program serupa di seluruh dunia.
Kini terdapat lebih daripada 4,000 lokasi di 72 negara, termasuk Singapura yang telah mengamalkan pemantauan air sisa SARS-CoV-2, dan Medema sendiri terlibat secara langsung dalam kira-kira 30 peratus daripada program ini.
Pakar kualiti dan kesihatan air ini juga telah menasihati Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai garis panduan air minuman mikrobiologi dan QMRA sejak 1991, serta SARS, Air, Sanitasi & Kebersihan (WASH) dan pemantauan air sisa.
Medema juga menasihati Suruhanjaya Eropah mengenai Arahan Air Minum EU dan garis panduan penggunaan semula air.
Anugerah Lee Kuan Yew Water Prize yang ditaja oleh Yayasan Temasek, adalah salah satu sorotan utama Minggu Air Antarabangsa Singapura, platform dwitahunan untuk pemimpin dan pakar air global berkongsi dan mencipta bersama penyelesaian inovatif untuk menangani cabaran air bandar.
Dinamakan sempena Perdana Menteri pengasas Singapura, anugerah antarabangsa berprestij ini menghormati sumbangan cemerlang oleh individu atau organisasi dalam menyelesaikan cabaran air dunia dengan membangunkan atau menerapkan teknologi, dasar atau program inovatif yang memberi manfaat kepada manusia. – Bernama