SIMANGGANG: Jawatankuasa Pembangunan Sri Aman atau SADA bakal menerbitkan pelan induk pembangunan sejajar dengan perlaksanaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan RMK-13 akan datang.
Pengerusi SADA, Dato’ Sri Rohani Abdul Karim berkata demikian ketika merasmikan Bengkel Pertama Pelan Induk Projek Pembangunan SADA yang berlangsung di salah sebuah hotel di sini semalam.
Katanya, pelan induk pembangunan selama 10 tahun tersebut akan bermula 2021 hingga 2030 sambil menekankan beberapa bidang utama bagi tujuan proses pembangunan Bahagian Sri Aman.
Antara bidang-bidang berkenaan menurut Ahli Parlimen Batang Lupar tersebut adalah pembangunan kemudahan infrastruktur, telekomunikasi, pembangunan modal insan, pertanian moden dan pembangunan utiliti.
“Selain itu, SADA menerusi pelan induk berkenaan juga akan turut menekankan aspek pembangunan digital bagi mendokong aspirasi negeri dalam era ekonomi digital bagi kawasan Bahagian Sri Aman.
“Malah pada masa yang sama, SADA menerusi pelan induk pembangunan tersebut juga akan turut mempertingkat aktiviti tambah nilai dalam semua sektor ekonomi dan perindustrian dalam bahagian ini,” kata beliau.
Justeru, Rohani memohon kepada pemimpin-pemimpin masyarakat di Sri Aman untuk memberikan cadangan serta pendapat bagi memastikan pelan induk pembangunan SADA ini nanti bersifat komprehensif dan holistik.
“Jangan pendamkan impian pembangunan dalam diri anda. Jika ada, maka sila luahkan kepada kita (SADA) sepanjang penganjuran bengkel tersebut demi memantapkan lagi pelan induk pembangunan Bahagian Sri Aman ini nanti,” kata beliau.
Terdahulu, seramai 147 pemimpin masyarakat telah menyertai Bengkel Pertama Pelan Induk Projek Pembangunan SADA yang bermula semalam sebelum ia berakhir pada Jumaat ini nanti.
Turut hadir, Menteri Muda Pembangunan Perindustrian, Datuk Dr. Malcom Mussen Lamoh, Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti, Datuk Francis Harden Hollis, Menteri Muda Belia dan Sukan, Datuk Snowdan Lawan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang, ADUN Lingga, Simoi Peri, Ahli Dewan Negara, Senator Susan Chemerai Anding, Residen Sri Aman, Indit Bangai, para ketua jabatan dan Ketua Masyarakat di sini.
Antara aktiviti yang berlangsung pada hari berkenaan adalah Taklimat Perspektif Strategik oleh Ketua Sekretariat SADA, Taklimat Pentadbiran Lab oleh Konsultan dan perbincangan kumpulan.
Oleh Valentine Ngumbang