CEDERA… Penyelamat Ukraine membawa warga Rusia yang cedera Ekaterina Volkova dari bangunan kediaman
yang musnah akibat peluru berpandu Rusia di Kiev. • Foto AFP
KIEV: Serangan Russia mengenai sebuah bangunan kediaman di Kiev semalam, serangan pertamanya di ibu negara Ukraine dalam tempoh tiga minggu.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky dan Datuk Bandar Kiev, Vitali Klitschko memaklumkan insiden itu mengorbankan seorang lelaki, manakala empat individu lain, termasuk kanak-kanak perempuan maut dan di bawa ke hospital.
Russia menafikan menyerang sasaran awam.
Terdahulu, negara itu memaklumkan menyerang tiga pusat tentera di utara dan barat Ukraine, termasuk satu sasaran berhampiran sempadan negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan Kesatuan Eropah (EU), Poland.
Serangan berprofil tinggi itu berlaku ketika diplomasi Barat selama seminggu bermula menerusi sidang G7 di Jerman, yang akan disusuli mesyuarat pemimpin NATO di Sepanyol.
Sekutu termasuk Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden yang mengutuk serangan di Kiev sebagai ‘barbarisme’, dijangka membuat penilaian menyeluruh mengenai sokongan mereka kepada Ukraine serta sekatan yang dikenakan terhadap Moscow.
Biden berkata, langkah NATO dan G7 bertentangan dengan hasrat Presiden Russia, Vladimir Putin yang berharap Barat akan ‘berpecah’ dan berikrar akan kekal bersatu dalam menyokong Ukraine.
Canselor Jerman, Olaf Scholz, menegaskan kumpulan negara industri perlu ‘berkongsi tanggungjawab’ berdepan kesan peperangan itu.
Sidang G7 bermula semalam dengan pengumuman larangan import emas Russia, namun Menteri Luar Ukraine, Dmytro Kuleba menggesa lebih banyak tindakan dilaksanakan.
“Sidang G7 perlu bertindak balas dengan mengenakan lebih banyak sekatan terhadap Russia dan menghantar lebih banyak senjata api berat ke Ukraine.
Imperialisme Russia mesti ditumpaskan,” kata Kuleba.
Zelensky turut mengulangi desakan penghantaran lebih banyak senjata dan sistem pertahanan udara ke Ukraine, selain sekatan baharu dikenakan oleh G7 terhadap Russia.
“Rakan sekutu perlu bertindak lebih pantas jika mereka benar-benar sekutu kita dan bukan sekadar pemerhati… sebarang sekatan sebenarnya hanya mengundang Russia untuk terus menyerang,” katanya. – AFP