SIBU: Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tiong King Sing (gambar) akan mengadakan rumah terbuka sempena Tahun Baharu Cina di Pusat Komersial Pulau Li Hua, mulai jam 8:30 pagi hingga 1 petang, Isnin ini 23 Januari.
Pengerusi Penganjur, Joshua Ting, berkata majlis itu adalah anjuran Parti Demokratik Progresif (PDP) Wilayah Tengah. Tiong adalah Presiden PDP.
“Sekurang-kurangnya 5,000 orang dari pelbagai kaum dijangka hadir pada majlis itu nanti,” katannya pada sidang media di pejabat PDP Dudong, hari ini.
Katanya, semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ahli Parlimen, ketua masyarakat serta persatuan juga dijemput untuk bersama-sama memeriahkan lagi majlis rumah terbuka itu nanti.
“Pelbagai aneka makanan yang lazat akan dimasak di lokasi majlis. Makanan untuk sahabat Muslim kita juga akan disediakan untuk mereka.
“Oleh itu, saya ingin menjemput orang ramai untuk datang beramai-ramai bersama keluarga, sanak saudara serta rakan taulan,” katanya.
Joshua berkata untuk menceriakan lagi majlis rumah terbuka itu nanti, pelbagai persembahan pentas juga akan dipersembahkan.