
MIRI: Sebuah rumah panjang di Kampung Mision Ulu Teru, Tinjar, Baram di sini dilaporkan terbakar dalam kejadian awal pagi ini.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 4.38 pagi.
Kebakaran melibatkan Rumah Panjang Hendry Gomes di Kampung Mision Ulu Teru yang terletak kira-kira 134 kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng.

Operasi pemadaman melibatkan anggota dari BBP Lopeng dengan bantuan BBP Lutong.
Seramai 13 anggota bersama dua jentera Jentera Bomba dan Penyelamat (FRT) dan sebuah kenderaan pacuan empat roda (D-Max) telah digerakkan ke lokasi.
Bagaimanapun, sehingga laporan ini dikemas kini, pasukan bomba masih belum tiba di lokasi kejadian berikutan jarak perjalanan yang jauh selain keadaan muka bumi berbukit, jalan yang sempit dan berbatu, sekali gus menyukarkan pergerakan jentera ke tempat kejadian.
Setakat maklumat awal, tiada mangsa dilaporkan terlibat.
Oleh Liong Chai Ling