Rumah musnah terbakar menjelang waktu berbuka puasa di Kampung Bahagia Jaya

Facebook
WhatsApp
PASUKAN bomba menjalankan operasi memadam kebakaran rumah di Kampung Bahagia Jaya Teku, petang tadi. Foto BBP Sungai Merah

SIBU: Rumah di Kampung Bahagia Jaya, Teku musnah dalam kebakaran beberapa minit menjelang waktu berbuka puasa, petang tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak memberitahu, kejadian berlaku sekitar 6.30 petang itu, turut memusnahkan kereta jenis Proton Wira dan motosikal Yamaha 135LC.

Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah bersama BBP Sibu Sentral (bantuan) bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan pada 6.49 petang.

PASUKAN bomba menjalankan operasi memadam kebakaran rumah di Kampung Bahagia Jaya Teku, petang tadi. Foto BBP Sungai Merah

“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di lokasi, didapati kebakaran melibatkan rumah telah terbakar 100 peratus. 

“Turut terlibat dalam kebakaran ialah kereta jenis Proton Wira dan motosikal jenis Yamaha 135LC, yang mana kedua-duanya juga terbakar 100 peratus,” katanya menerusi kenyataan, sebentar tadi.

Katanya, PKO bertindak menjalankan kerja-kerja pemadaman dengan membentang tiga aliran hos sepanjang 200 kaki menggunakan empat pancutan nozel, dengan sumber air diperoleh daripada pili bomba berhampiran.

“Operasi mengawal dan memadam kebakaran tamat pada 8.35 malam. Tiada mangsa dilaporkan terlibat atau mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Oleh Akun Giman