
SIBU: Sebuah rumah kosong terbiar musnah sepenuhnya dalam kebakaran di kawasan hutan berhampiran Batalion 10 Pasukan Gerakan Am (PGA) Lanang di sini, hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 8.01 malam sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Sentral digerakkan ke lokasi.
“Pasukan bomba tiba di lokasi pada 8.08 malam dan mendapati kebakaran melibatkan sebuah rumah kosong berstruktur tidak kekal berkeluasan kira-kira 20×60 kaki persegi yang telah terbakar 100 peratus.
“Rumah kosong tersebut berada jauh dari kawasan penempatan dan dalam keadaan terbiar di kawasan hutan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, operasi turut berdepan kesukaran berikutan ketiadaan pili bomba berhampiran lokasi kejadian menyebabkan jentera terpaksa berulang-alik mendapatkan bekalan air dari pili bomba pada jarak kira-kira satu kilometer.
“Kebakaran berjaya dikawal pada 8.24 malam dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada 9.50 malam,” tambahnya.
Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu.