
PETRA JAYA: Sebuah rumah kosong yang telah ditinggalkan di Kampung Buntal Hulu, Petra Jaya di sini terbakar tengah hari tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 12.35 tengah hari sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya tiba di lokasi pada 12.53 tengah hari.
“Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati kebakaran melibatkan sebuah rumah kosong berkeluasan kira-kira 20 kaki x 30 kaki persegi yang telah ditinggalkan.
“Kebakaran hanya melibatkan barangan lama di dalam rumah berkenaan dan berjaya dipadamkan oleh Pasukan Bomba Sukarela Kampung Buntal (PBS Buntal) sebelum ketibaan pihak bomba,” kata Komander Operasi, PBKI Syed Azrin dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, tiada mangsa terlibat atau mengalami kecederaan dalam kejadian tersebut.
“Setelah memastikan kebakaran dipadamkan sepenuhnya dan keadaan selamat, anggota bersama jentera bertolak balik ke balai. Operasi tamat pada 1.10 tengah hari,” katanya.
Oleh Adele Rissa




