BETONG: Sebuah rumah kebun yang didiami oleh sepasang suami isteri dan seorang anak lelaki berusia lapan tahun telah musnah terbakar dalam kejadian yang berlaku di Jalan Kampung Batu Lintang, Layar dekat sini hari ini.
Penguasa Bomba Zon 3 Sarawak, Muhammad Rais Adham Rosalan berkata Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong menerima panggilan berhubung kebakaran berkenaan sekitar jam 12.18 tengah hari tadi.
“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di lokasi kejadian, didapati berlakunya kebakaran melibatkan sebuah pondok kebun di kebun sawit.
“Pondok kebun tersebut didiami oleh sepasang suami isteri dan seorang anak lelaki berusia lapan tahun telah musnah terbakar 100 peratus.
“Kebakaran tersebut juga turut melibatkan sebuah motosikal terbiar (lama tidak digunakan serta rosak) jenis Suzuki Best yang diletakkan di luar rumah tersebut, telah terbakar 70 peratus,” katanya dalam kenyataan.
Muhammad Rais berkata semasa kejadian berlaku, kesemua penghuni tiada di rumah kerana masih bekerja di Pasar Layar, dekat sini.
“Tiada operasi pemadaman dijalankan oleh PKO di lokasi dan hanya membuat kerja-kerja’ overhaul’ bagi memastikan api telah padam sepenuhnya.
“Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan pihak bomba,” katanya.
Muhammad Rais menambah, tiada akses jalan jentera ke lokasi memandangkan PKO terpaksa meninggalkan jentera dibahu jalan dan berjalan kaki menuju ke lokasi kejadian sejauh 500 meter dan akses jalan ke lokasi hanya boleh dilalui menggunakan kenderaan motosikal sahaja.