
BINTULU: Sebuah rumah dua tingkat separuh kekal di Fasa 1, Jalan Orkid, Kampung Assyakirin di sini musnah hampir 100 peratus dalam satu kebakaran yang berlaku petang tadi.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 6.40 petang sebelum menggerakkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu ke lokasi.
Jentera pertama tiba kira-kira sembilan minit kemudian, dengan lokasi kejadian berada sekitar tujuh kilometer dari balai.
Menurut JBPM, kebakaran melibatkan sebuah rumah dua tingkat separuh kekal berkeluasan kira-kira 40 x 20 kaki yang telah terbakar hampir keseluruhannya.
Bagi memadam kebakaran, pasukan bomba menggunakan satu aliran sepanjang 200 kaki dengan dua nozel pancutan yang mendapatkan sumber air daripada pili bomba berhampiran.
Dalam pada itu, anggota dari BBP Kidurong turut digerakkan sebagai bantuan bagi memperkukuh operasi pemadaman.
Operasi diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan I Polly Anak Untang.
Setakat laporan awal dikeluarkan, operasi pemadaman masih dijalankan dan tiada maklumat mengenai mangsa atau punca kebakaran diperoleh. Pihak bomba juga masih belum mengesahkan jumlah kerugian yang dialami.
Oleh Faizah Muzidi