Rumah didiami empat keluarga musnah dalam kebakaran di Kampung Niup

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
KEADAAN rumah yang musnah sepenuhnya dalam kebakaran di Kampung Niup, Kota Samarahan awal pagi tadi. Foto JBPM

KOTA SAMARAHAN: Sebuah rumah satu tingkat yang didiami empat keluarga dengan keseluruhan 16 penghuni, musnah dalam kebakaran di Kampung Niup, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 4.19 pagi itu, rumah tersebut terbakar sepenuhnya, manakala sebuah rumah jiran turut mengalami kerosakan apabila kira-kira lima peratus bahagian bumbungnya turut dijilat api.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Samarahan dengan bantuan BBP Tabuan Jaya dikerahkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan.

Menurutnya, pasukan bomba tiba pada 4.46 pagi dan mendapati sebuah rumah satu tingkat jenis kekal berukuran 32 x 70 kaki sedang marak terbakar.

“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan tiga aliran salur bantu mula dan tiga nozel bagi mengawal serta memadam kebakaran.

“Selepas api berjaya dikawal, pasukan bomba meneruskan kerja-kerja pemeriksaan dan overhaul menggunakan kaedah relay pumping dengan pam angkut ke jentera FRT bagi memastikan tiada lagi punca api,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kebakaran berjaya dikawal pada 5.03 pagi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada 7.20 pagi selepas keadaan disahkan selamat.

Operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan I Paul Senum dengan kekuatan 15 anggota menggunakan dua jentera FRT dan sebuah EMRS.

Tiada mangsa dilaporkan cedera, manakala punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.