BINTANGOR: Tiga penghuni sebuah rumah hilang tempat berteduh apabila rumah yang mereka diami terbakar, dipercayai dibakar oleh ahli keluarga yang mengalami masalah mental di Rumah Kam Sungai Mador, di sini pagi tadi.
Ketua Balai Bomba Penyelamat (BBP) Bintangor, Nicholas Belulin berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada pukul 1.21 pagi sebelum menghantar enam anggota dari BBP Bintangor ke lokasi.
Katanya, kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis struktur kekal telah terbakar 100 peratus.
“Hasil maklumat awal diterima, ia perbuatan kurang siuman oleh ahli keluarga dan saudara terdekat berhampiran.
“Sebelum kejadian kebakaran, pemilik rumah berkelakuan agak aneh kerana sering kali membakar cebisan kertas,” katanya.
Nicholas berkata, api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 3.10 pagi.
Oleh Suriyani Molyadi