MIRI: Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Perpaduan (JPNIN) Miri dan Kawasan Rukun Tertangga (KRT) Skim Rondaan Sukarela telah mengadakan rondaan pencegahan jenayah di Kampung Tudan Fasa 2 malam tadi.
Rondaan itu diadakan untuk pencegahan jenayah agar tiada aktiviti jenayah berlaku di kawasan KRT, sekali gus dapat mengurangkan kadar jenayah.
Rondaan itu telah disertai dua anggota polis bersama seorang Pegawai Perpaduan dan 40 anggota KRT dari pelbagai kawasan Miri.
Jurucakap polis berkata, sebelum rondaan dijalankan, sesi ceramah pencegahan jenayah dan taklimat keselamatan serta tatacara rondaan telah disampaikan oleh Koperal Mohamad Jaffar Rosliee dari Bahagian Kepolisan Komuniti IPD Miri.
“Rondaan jalan kaki berkumpulan dan kawasan tumpuan rondaan adalah sekitar kawasan yang sering menjadi tempat budak melepak dan kawasan gelap,” katanya.
Sehubungan itu, program rondaan ini akan dijalankan dari semasa ke semasa bagi mengeratkan lagi perhubungan di antara satu sama lain dan bekerjasama di dalam program dan aktiviti kepolisan komuniti.
Oleh Adum Liu
Gambar
RONDA… Polis, Jabatan Perpaduan (JPNIN) Miri dan Kawasan Rukun Tertangga (KRT) Skim Rondaan Sukarela yang terlibat dalam rondaan pencegahan jenayah di Kampung Tudan Fasa 2 malam tadi.