CALON muka baharu Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee tidak kekok dan mula membiasakan diri ketika kempen Pilihan raya Umum ke-15 (PRU-15) masuk hari keenam hari ini.
Malam tadi beliau duduk semeja dengan Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) serta golongan belia din Kampung Gedong.
“Kamek nang terharu dijemput untuk sama-sama barbeku (BBQ) dengan orang muda walaupun dalam keadaan hujan yang lebat,” kata Rodiyah.
Sebelum itu beliau meluangkan masa menyantuni Ranting PBB Kampung Lalang Hilir dan Lalang Tengah selain singgah di enam lagi ranting PBB di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N26 Gedong iaitu Kampung Tengah Hilir, Perintah Masjid, Lot Fasa 1&2, Datuk Patinggi Muai dan Spaoh.
“Rasa terharu dengan layanan mesra dan komitmen yang diberi oleh semua yang terlibat,” katanya.
Semalam, Rodiyah turut bertandang ke beberapa kampung dalam DUN Gedong termasuk Kampung Kanchong Baru, Kanchong Jaya, Segera Jaya, Tengah Hulu dan Tengah Lama.
“Nang seronok dapat berjumpa, bertanya khabar dengan bala sidak. Harap jalinan hubungan erat macam tok dapat dikekalkan sampai bila-bila,” katanya dalam hantar di facebooknya.
Rodiyah dicabar Setiausaha Kerja Parti Amanah Negara (AMANAH) Sarawak, Lahaji Lahiya yang merupakan seorang pesara guru. AMANAH mewakili gabungan Pakatan Harapan (PH).