KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa, Wilfred Yap, hari ini menyerahkan Surat Setuju Terima (LOA) bagi dua projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) 2026 bernilai keseluruhan RM500,000 untuk menaik taraf infrastruktur saliran serta mengurangkan risiko banjir di kawasan berkenaan.
Dua projek itu membabitkan kerja menaik taraf saliran di sebahagian Jalan Semaba, Fasa 3 bernilai RM350,000 dan menaik taraf saliran di Lorong Stakan 3 dengan peruntukan RM150,000.
Penyerahan LOA itu turut disaksikan pegawai Majlis Perbandaran Padawan (MPP).
Wilfred berkata pelaksanaan projek berkenaan mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam menangani keperluan infrastruktur di peringkat akar umbi, khususnya isu saliran yang memberi kesan terhadap keselamatan, keselesaan dan kualiti hidup penduduk.
Menurutnya, peruntukan kewangan hanyalah sebahagian daripada tanggungjawab kerajaan, manakala kejayaan sesuatu projek perlu dinilai berdasarkan kualiti, keselamatan, ketahanan dan manfaat sebenar kepada rakyat.
“Setiap ringgit yang diperuntukkan ialah wang rakyat dan setiap projek mesti memberikan nilai kepada rakyat.
“Siap semata-mata tidak mencukupi. Kita perlu memastikan penyeliaan yang baik, mutu kerja berkualiti, pelaksanaan mengikut jadual dan infrastruktur yang siap benar-benar menyelesaikan masalah yang ingin ditangani,” katanya.
Beliau berkata projek saliran di Jalan Semaba dan Lorong Stakan 3 dirancang berdasarkan keperluan yang dibangkitkan penduduk dan dijangka membantu meningkatkan kapasiti sistem saliran serta mengurangkan masalah takungan air ketika hujan lebat.
Katanya, pembangunan di Kota Sentosa akan terus memberi tumpuan kepada keperluan rakyat selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
“Kita akan terus mengenal pasti keperluan mendesak di lapangan dan menyalurkan sumber kepada projek yang memberikan manfaat bermakna serta berkekalan kepada masyarakat,” katanya.
Wilfred turut menegaskan pemantauan akan dilaksanakan pada setiap peringkat projek, bermula daripada perancangan, pembinaan, penyiapan hingga penyerahan bagi memastikan aspek ketelusan, akauntabiliti, kualiti dan nilai untuk wang diberi keutamaan.
Oleh Connie Chieng





