NIAH: Rumah Christopher Gait, Skim Rancangan Sepupok Niah menerima peruntukan RM30,000 bagi pembangunan komuniti di kawasan rumah panjang berkenaan.
Pengumuman itu dibuat oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak Datuk Rosey Yunus ketika berucap pada Program Skuad Kasih Sayang (SKS) Bekenu di Rumah Christopher Gait, di sini hari ini.
Peruntukan berkenaan dibahagikan kepada tiga bahagian, iaitu RM22,000 untuk pembangunan rumah panjang menerusi taklimat Jabatan Kerja Raya (JKR), RM5,000 kepada Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) serta RM3,000 kepada Biro Wanita.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu berkata, SKS Bekenu akan terus memainkan peranan penting dalam membantu menjaga kebajikan masyarakat, khususnya golongan kurang berkemampuan, warga emas dan keluarga yang memerlukan di kawasan luar bandar.
“Peranan SKS penting kerana pasukan berkenaan sentiasa turun padang bagi mengenal pasti keperluan masyarakat di kampung, rumah panjang serta kawasan sekitar DUN Bekenu.

“Hari ini saya sempat turun padang bersama SKS bagi membolehkan bantuan disalurkan secara lebih dekat dan bersasar kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
“SKS bukan sekadar menyampaikan bantuan, tetapi turut menjadi penghubung antara masyarakat dengan agensi berkaitan dalam usaha memastikan kebajikan rakyat sentiasa diberi perhatian,” katanya.
Tambahnya, bantuan yang disalurkan termasuk keperluan asas, barangan makanan dan bantuan kewangan, termasuk menerusi kerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Semangat kesukarelawan dalam kalangan anggota SKS perlu terus diperkasakan kerana mereka merupakan antara kumpulan yang sentiasa dekat dengan masyarakat.

“Kerjasama semua pihak termasuk agensi kerajaan, pertubuhan sukarelawan dan komuniti amat penting bagi memastikan tiada golongan yang memerlukan tercicir daripada menerima perhatian dan bantuan,” jelasnya.
Justeru, beliau berkata keprihatinan terhadap kebajikan rakyat perlu menjadi tanggungjawab bersama bagi memastikan masyarakat di kawasan luar bandar turut menikmati sokongan dan perhatian yang sewajarnya.
Pada program itu, seramai 10 warga emas menerima bakul makanan yang diserahkan oleh Datuk Rosey Yunus.
Turut hadir ialah Ketua Gerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Bekenu merangkap Ketua SKS Bekenu Kaunselor Hadijah Sheikh Kasim, Tuai Rumah (Tr.) Christopher Gait, Penghulu Michael Balo, Tr. Salleh, Tr. Aron, Tr. Selain, Tr. Enju dan Tr. Patrick Libau.
Oleh Adum Liu




